23 November 2012

LIGA MALAYSIA 2013: MENGAPA KELANTAN AKAN HANYA TAMPIL LEBIH KUAT PADA MUSIM 2013

Kelantan menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia musim 2012.
Kejayaan Kelantan memenangi semua 3 piala utama Liga Malaysia iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada musim 2012 merupakan kemuncak kepada kebangkitan bola sepak Kelantan.

Kelantan mencatat sejarah apabila menjadi negeri kedua selepas Kedah yang berjaya memenangi kejuaraan 'treble' ini dalam dua musim berturut-turut pada tahun 2007 dan 2008.

Bagaimanapun, 'mood' menyambut kejuaraan tiga piala di kem The Red Warriors dari pantai timur ini seakan terganggu oleh karenah pasukan yang sedang rancak dibina jauh di selatan tanah air.

Kemampuan Kelantan untuk mempertahankan kejuaraan yang sama pada musim depan seakan terjejas apabila Norshahrul Idlan menyatakan hasrat untuk berhijrah ke Johor bersama rakan sepasukan, Nurul Azwan Roya.

Status penjaring terbanyak dalam semua kejohanan bagi Kelantan musim 2012, Mohamad Ghaddar yang menyumbang 21 gol pula masih belum dapat dipastikan setelah turut mendapat tawaran daripada pasukan lain.

Namun ketika semua menyangka Kelantan akan tunduk membisu membenarkan pasukan mereka dilemahkan oleh kemelut ini, KAFA membuat kejutan apabila berjaya mengikat ayam tambatan pasukan jiran iaitu Zairo Anuar Zailani dan Mohd Faiz Subri daripada T-Team.

Meskipun mereka kurang dikenali berbanding 3 bintang Kelantan yang berhijrah iaitu Norshahrul, Nurul Azwan Roya dan S. Chanturu, dua pemain daripada T-Team ini juga memiliki keistimewaan yang tersendiri.
Statistik jaringan diatas menunjukkan senarai penjaring terbanyak bagi musim 2012 Kelantan dengan Mohamad Ghaddar merupakan penjaring terbanyak keseluruhan (21 gol) diikuti oleh Norfarhan (17), Piya (14), Indra (13) dan Norshahrul Idlan (10).

Walaupun menunjukkan permainan bersifat individu, Ghaddar tetap cemerlang dengan 9 gol di Liga Super dan 8 gol di Piala AFC. Ghaddar juga seringkali muncul penyelamat disaat getir dengan jaringan penting.

Ketiadaan Norshahrul yang cedera juga tidak begitu dirasakan apabila pemain utama lain seperti Norfarhan, Piya dan Indra Putra mampu menggalas tugas dan mencipta jaringan.

Sekalipun mereka bukan penyerang tulin dan lebih kepada pemain bahagian tengah dan sayap, Indra, Farhan dan Piya tetap ampuh dengan keseluruhan 44 gol berjaya dihasilkan, dengan 21 gol daripada (40%) jaringan Kelantan di Liga Super.

Nurul Azwan dan S.Chanturu juga merupakan aset penting bagi Kelantan bagi musim 2012 kerana kedua-dua flanker ini memiliki kelajuan, kawalan bola yang baik dan mencipta peluang bagi rakan, meskipun hanya menyumbang sejumlah 7 gol.
Penghijrahan Norshahrul, Nurul Azwan dan S. Shanturu sudah tentu akan dirasakan namun kehadiran Zairo Anuar Zailani dan Mohd Faiz Subri dijangka mampu mengisi ruang yang ditinggalkan itu dengan baik.

Gandingan Zairo dan Faiz Subri telah menghasilkan keseluruhan 24 gol untuk T-Team musim lalu dengan 18 gol atau lebih daripada separuh (51.4%) jaringan T-Team dalam Liga Super adalah sumbangan mereka.

Signifikan kemasukan Zairo dan Faiz dijangka memberi impak positif kepada Kelantan pada musim hadapan dan gandingan kedua pemain ini dengan barisan pemain yang sedia ada dijangka akan menghasilkan kejayaan. 

Namun Kelantan perlu menutup jurang luas yang ditinggalkan dibahagian serangan oleh dua penyerang utama iaitu Mohamad Ghaddar dan Norshahrul dengan penyerang import dan tempatan yang berkualiti

Sekiranya ini dipenuhi, maka dominasi Kelantan dalam bola sepak Malaysia tidak akan berakhir dan tenggelam disebalik kemunculan gergasi baru dari selatan, malah Kelantan akan tetap kekal sebagai pasukan terkuat Liga Malaysia untuk musim hadapan.

22 November 2012

ISU PERPINDAHAN PEMAIN: T-TEAM & KELANTAN: PERBANDINGAN KES 2010 & 2012

T-Team kehilangan 2 pemain utama, Zairo dan Faiz kepada Kelantan.
Sememangnya permulaan Liga Malaysia 2013 menjanjikan persaingan baru dan cabaran yang lebih hebat kepada pasukan-pasukan bertanding berbanding tahun sebelumnya.

Kemunculan Johor yang baru terjaga setelah lena dibuai mimpi hampir dua abad didalam kancah bola sepak Malaysia menggoncang kehangatan Liga Malaysia yang tenang pada sebelumnya.

Tempiasnya, Kelantan yang baru ditabalkan sebagai Juara Treble turut kehilangan dua pemain utama kepada Johor iaitu Norshahrul Idlan (masih dalam rundingan) dan Nurul Azwan Roya.

Bagi menampung kehilangan 2 pemain ini, Kelantan membawa masuk Kapten pasukan T-Team, Zairo Anuar Zailani dan penyerang serta pemain sayap kiri lincah iaitu Mohd Faiz Subri.

Kemasukan 2 pemain ini bagaimanapun tidak lepas daripada konroversi apabila T-Team mendakwa mereka masih lagi mempunyai kontrak sehingga 30 November ini dan sudah menyatakan kesudian untuk melanjutkan kontrak.

Namun kehadiran 2 pemain ini semasa KAFA mengumumkan senarai pemain baru bagi musim 2013 mengesahkan T-Team akan kehilangan 2 pemain utama mereka kepada Kelantan.


Kontroversi ini membangkitkan kembali insiden yang berlaku pada November 2010 setelah Kelantan baru sahaja menjulang kejuaraan Piala Malaysia yang pertama.

Pemain Paling bernilai Liga Malaysia 2009, Indra Putra Mahyuddin, Norfarhan Muhammad dan Azizie Mat Rose yang merupakan pemain utama Kelantan pada musim itu telah 'dirampas' dengan cara yang hampir sama oleh pasukan T-Team.

Kehilangan 3 pemain utama sewaktu jendela pendaftaran baru pemain semakin suntuk mengakibatkan persediaan kelantan untuk musim 2011 terjejas dan Kelantan telah pun melaporkan insiden ini kepada FAM  dengan alasan mereka sewaktu itu masih mempunyai kontrak.

FAM walau bagaimanpun memutuskan ketiga-tiga pemain ini tidak bersalah, tidak melanggar kontrak dan bebas untuk beraksi bersama pasukan T-Team.

Persamaan diantara kes Indra, Norfarhan dan Azizie dengan kes Zairo dan Faiz ialah kontrak mereka semuanya berakhir pada 30 November dan mengikut peraturan 10.1, pasukan asal boleh memberikan notis lanjutan kontrak 3 bulan sebelum tamatnya kontrak iaitu pada atau sebelum 31 Ogos.

KAFA dalam kes trio tersebut telah mengeluarkan surat lanjutan itu sehari lewat pada tarikh akhir iaitu pada 1 September manakala T-Team pula hanya mengeluarkan surat itu pada 17 September.

Jadi bagi kedua-dua kes ini, pihak KAFA pada tahun 2010 dan pihak T-Team pada 2012 telah pun tidak menepati syarat perlanjutan kontrak dan tidak terpakai.

Walaupun notis itu dikeluarkan mengikut masa yang betul, mengikut perkara 10.3, pemain hendaklah menandatangani atau menolak perjanjian melanjutkan kontrak dalam masa 30 hari setelah menerima notis tersebut. Jika pemain tidak membalas notis itu, maka kontrak itu akan berkuatkuasa secara automatik.

Dan apa yang berlaku kepada 'trio' tersebut ialah mereka tidak menjawab notis itu dan lari kepada pasukan T-Team yang memberikan tawaran yang lebih baik.

KAFA beranggapan bahawa sekiranya pemain tidak menjawab notis tersebut dalam masa 30 hari, bermakna kontrak mereka akan dilanjutkan secara automatik, namun notis tersebut juga telah tidak menepati syarat 10.2 apabila hanya menyatakan terma dan syarat yang sama dengan kontrak asal dan bukannya terma yang baharu.

Zairo dan Faiz juga tidak menjawab notis lanjutan kontrak daripada T-Team dalam masa 30 hari tersebut dan ini tidak menjadikan kontrak mereka automatik berjalan kerana notis itu sendiri sudah terbatal dan tidak terpakai kerana melewati tarikh akhir notis iaitu pada 31 Ogos.

Ini bermakna mereka berhak untuk menandatangani kontrak bersama pasukan baru iaitu Kelantan yang mana kontrak itu akan hanya berkuatkuasa pada 27 Disember 2012.

Pihak T-team dilaporkan mahu melaporkan kes ini kepada FAM supaya kedua pemain tersebut dikenakan tindakan namun berdasarkan kes 'trio' yang terdahulu, dijangka mereka juga akan 'dilepaskan'.

Jika dahulu aduan KAFA pada 2010 terhadap 3 pemain itu tidak diendahkan FAM kerana notisnya bertarikh lewat sehari dan tidak menyatakan terma dan syarat-syarat baru kontrak, maka sebarang aduan T-Team mengenai isu perpindahan Zairo dan Faiz kepada FAM juga akan tidak berasas.



2 November 2012

PREVIEW LIGA SUPER 2013:KELANTAN VS JOHOR FC: THE RED WARRIORS VS THE SOUTHERN TIGERS

Bayangan kemungkinan Kelantan VS Johor FC musim 2013.


Pengenalan
KELANTAN
Berstatus pasukan negeri yg bermula dari bawah dari segala kepayahan bermula di Liga FAM, Liga Perdana dan seterusnya ke Liga Super dan mara keperlawanan akhir utama Liga Malaysia sebanyak 6 kali sejak musim 2009 dan menjuarai semua kejuaraan utama serta mewakili Malaysia dalam kejohanan Piala AFC.

JOHOR FC
Berstatus kelab dan terus membina pasukan baru daripada kelompok pemain kebangsaan kerana pasukan negeri ( Johor FA) masih di Liga Perdana untuk musim depan. Johor FC pernah menjuarai Liga Perdana di musim 2001 dan menamatkan Liga Super 2012 ditangga ke 9.

Core players
KELANTAN
Membina pasukan dari majority 'core players' yang terdiri daripada anak negeri seperti Shakir Saari, Badri radzi, Daudsu, Rizal Fahmi, Shahrizan Ismail, Khairul Fahmi (GK), Farisham, Zairul Fitrie, Nik Shahrul, Aziz Ismail, Zamri Ramli dan diperkuatkan oleh beberapa bintang dari luar seperti Norfarhan, Indra, Subramaniam dan pemain pertahanan import kental iaitu Obinna Nwaneri. Kelantan memiliki ramai pemain yang  sedang dan pernah beraksi untuk pasukan kebangsaan serta berjaya mengeluarkan pemain muda yang berkualiti seperti Nik Shahrul dan Izuan Solahuddin.

Johor FC
Membina pasukan dengan 'core players' daripada skuad HARIMAU MALAYA yang dipancing daripada pasukan utama lain seperti Azmi Muslim, Aidil Zafuan dan Zaquan Adha daripada ATM, Safiq Rahim dari Selangor, Norshahrul Idlan dan Nurul Azwan daripada kelantan serta seorang import kelas A dari 'la liga'. Johor juga masih memiliki pemain musim lalu yang berkualiti seperti Zamir Selamat (GK) yang merupakan bekas penjaga gol Harimau Muda, Khaironnisam Sahabuddin, Ahmad Fauzi Saari dan Azi shahril  yang kesemuanya pernah mewakili pasukan kebangsaan.

Kekuatan
KELANTAN
Persefahaman diantara pemain amat tinggi dan sudah lama bermain bersama serta memiliki kekuatan seimbang di setiap posisi namun sedikit kegusaran dibahagian serangan menggantikan Norshahrul sekiranya Kelantan tidak mendapat pengganti yg setara. Ghaddar masih belum disahkan statusnya dan Keita Mandjou masih perlu membuktikan keupayaannya. Namun kehadiran Indra dan Norfarhan dijangka dapat mengekalkan ketajaman bahagian depan. Kelantan turut memiliki pengkalan penyokong setia yang tinggi jumlah dan kehadirannya di semua stadium di mana Kelantan beraksi.

JOHOR
Fandi Ahmad mengambil langkah mudah dan selamat dengan membentuk pasukan daripada pemain-pemain yang sudah biasa bermain bersama dalam pasukan  kebangsaan dibawah kendalian Rajagopal dimana kerjanya hanya mengekalkan prestasi mereka sama ketika beraksi untuk Johor FC. Kejayaan membawa Daniel Guiza daripada Getafe ke Liga super amat mengagumkan dan sekiranya gandingannya bersama Norshahrul menjadi maka potensi kejayaan untuk Johor FC amat tinggi.

Jurulatih
KELANTAN
Kecemerlangan Bojan Hodak membimbing Kelantan musim ini tidak dapat disangkal lagi setelah mengambil alih daripada Peter Butler dengan membawa 3 piala utama Liga Malaysia iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia serta mara keperingkat suku akhir Piala AFC. Beliau memiliki Lesen kejurulatihan UEFA dan memiliki pengalaman melatih pasukan UPB-Myteam FC di Malaysia, Shandong Lunen dari China dan Phnom Penh Crown di Kemboja. 

JOHOR FC
Fandi Ahmad merupakan legenda bola sepak Singapura dan merupakan fenomena besar ketika mewakili Kuala Lumpur pada tahun 80an. Merupakan pemain pertama Singapura yang bermain di Eropah (FC Gronigen, Belanda 1982-1985). Sebagai jurulatih, Fandi pernah membawa pasukan SAFFC menjuarai Liga Singapura, membimbing pasukan 'Young Lions' kepada kedudukan 3 teratas liga, menjadi penolong jurulatih pasukan kebangsaan Singapura dan pernah melatih pasukan Pelita Jaya di Indonesia. Fandi memiliki Sijil tahap Diploma kejurulatihan AFC dan dianggap sebagai bakal jurulatih kebangsaan Singapura.

Pengurusan
KELANTAN
Kewibawaan dan visi yang dibawa oleh Tan Sri Annuar Musa berjaya menukarkan Kelantan daripada pasukan bawahan menjadi gergasi bola sepak Malaysia sejak musim 2009 hingga berjaya membawa 'treble' pertama kepada Kelantan. Mempunyai 'pasukan' yang cekap didalam KAFA yang membawa kepada pengurusan yang teratur dan mampu menarik sumber penaja yang banyak. Meskipun Tan sri Annuar Musa digantung selama 30 bulan namun pengaruhnya masih dirasakan dalam pasukan Kelantan. 

JOHOR
Kehadiran Tengku Mahkota Johor sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor sememangnya membawa rahmat kepada peminat bola sepak Johor dimana prestasi kedua-dua pasukan mereka agak merudum untuk jangka masa yang lama setelah kali terakhir menjuarai Liga Malaysia dan Piala Malaysia pada 1991. Kehadiran TMJ membawa kelebihan dari segi kewangan kepada Johor dan kemampuan ini membolehkan mereka membeli pemain-pemain bintang dan membentuk sebuah pasukan yang 'ready made champions'.