15 August 2011

FRIENDLY KE 2: KELANTAN VS SELANGOR


G. Jeevanathan, Muhammad Nazri Ahmad dan Haziq Zikri Elias.



Setelah membelasah Kuala Lumpur dengan jaringan besar 5-0, Kelantan akan bertandang ke Shah Alam untuk bertemu dengan Selangor bagi perlawanan persahabatan yang ke 2 pada 17 Ogos, Rabu ini. Selangor di anggap lawan yang lebih kuat dan bakal menjadi pencabar utama Kelantan di dalam saingan Piala Malaysia 2011.

Segar dengan kemenangan 1-0 mereka ke atas skuad Harimau Malaya baru-baru ini, Selangor bertekad untuk merampas kembali Piala Malaysia dan membawanya pulang ke Selangor untuk kali yang ke 33. Kehadiran semula tonggak mereka dari skuad kebangsaan; Safiq Rahim, Amirulhadi dan Asrarudin Putra bakal menambah sengat The Red Giants.

Sepertimana juga Kelantan yang meminjam pemain daripada negeri lain, Selangor turut memperkuatkan skuadnya dengan tiga pemain pinjaman. Mereka ialah dua pemain Harimau Muda, Muhammad Nazri Ahmad dan Haziq Zikri Elias serta penjaga gol USM FC iaitu G. Jeevanathan. Nazri merupakan pemain pertahanan manakala Haziq beraksi di posisi penyerang.

Nazri dan Haziq adalah pemain Harimau Muda A dan tidak tersenarai dalam skuad Olimpik bimbingan Ong Kim Swee yang kini berlatih di Slovakia.

Nazri, anak kelahiran Selangor yang dilahirkan pada 17 Mac 1990 beraksi untuk skuad Piala Presiden Kuala Muda Naza pada 2009 sebelum persembahannya memikat Ong Kim Swee lantas diserapkan ke dalam skuad Harimau Muda A dalam aksi Liga Super 2011.

Haziq pula nama yang tidak asing bagi peminat yang mengikuti perkembangan bola sepak tempatan secara dekat. Dilahirkan di Kuala Lumpur pada 5 April 1991, beliau meninggalkan Malaysia seawal usia 3 tahun kerana mengikuti bapanya Dr Elias Awang, yang bertugas di Kingdom.

Beliau beraksi untuk skuad Bawah 18 tahun Stevenage FC selama 2 tahun sebelum kembali ke tanahair dan beraksi untuk skuad Harimau Muda.

Jeevanathan, 31, merupakan penjaga gol dari liga perdana dan pernah beraksi bersama Johor FC. Beliau di panggil untuk menggantikan penjaga gol simpanan Selangor, Fairul Azwan Syahrullai yang mengalami kecederaan lutut ACL semasa dalam sesi latihan.