16 August 2011

GANTUNG 5 TONGGAK: PERAK KEMUKA RAYUAN KEPADA FAM

Antara pemain Perak yang di gantung; Shahrulnizam, Akmal Rizal dan Nasril Nordin


Perak sudah kemukakan dua surat rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia ( FAM ) bagi mempertimbangkan hukuman penggantungan ke atas lima tonggak utamanya untuk beraksi dalam kempen Piala Malaysia mulai 6 September akan datang.

Pengurus Pasukan, Khairul Azwan Harun berkata, salah satu surat rayuan yang dikemukakan itu adalah untuk Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.

Khairul Azwan berharap Presiden FAM itu dapat menggunakan budi bicara baginda untuk menyelesaikan masalah tersebut.

“Berilah peluang kepada kelima-lima pemain tersebut agar mereka dapat beraksi dalam piala yang berprestij itu,” jelas Khairul Azwan.

Sebelum ini, Ketua pasukan Perak, Shahrulnizam Mustapha dan penjaring terbanyak, Akmal Rizal Ahmad Rakhli antara lima pemain yang digantung tujuh perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM pada 18 Julai lalu.

Selain itu, penjaga gol utama, Mohd Nasril Nourdin, tonggak utama bahagian tengah, Mohd Syazwan Roslan dan Azmeer Yusoff turut digantung tujuh perlawanan.

Kelima-lima pemain itu didakwa atas kesalahan mengeluarkan kata-kata kesat kepada pegawai perlawanan selepas perlawanan Liga Super 2011 antara Perak dengan Sabah di Stadium TLDM, Lumut pada 19 Mei lalu.

Pengurus Pasukan itu berkata, Perak berasa hukuman yang dikenakan ke atas kelima-lima pemain berkenaan terlalu keras.

Beliau mengharapkan pertimbangan sewajarnya diberikan kepada kelima-lima tonggak utama Perak tersebut.

Walaupun Perak telah meminjam tiga pemain luar tetapi tenaga kelima-lima pemain berkenaan amat diperlukan.

Penjaring terbanyak Universiti Sains Malaysia
( USM ), Mohd Failee Mohd Ghazli bersama-sama pemain Perlis, Mohd Hafiszuan Salehuddin dan pemain Harimau Muda, Muhammad Rafiuddin Roddin telah menjadi pemain pinjaman Perak.

Kelima-lima pemain berkenaan merupakan tonggak utama Perak yang mana ketiadaannya hampir pasti melumpuhkan skuad Seladang yang ingin memburu kejuaraan kali kelapan dalam kempen Piala Malaysia.

Perak telah menjuarai Piala Malaysia sebanyak tujuh kali sejak diperkenalkan pada tahun 1921 iaitu pada tahun 1926, 1931, 1957, 1967, 1970, 1998 dan 2000.

Para penyokong Kejor Yeop Kejor masih menanti perkembangan muktahir mengenai penggantungan kelima-lima pemain berkenaan dengan penuh debaran.

Sumber: www.peraknews.com