20 August 2011

KARATHU SUKA ALEX: GANDINGAN TERBAIK UNTUK MAT YO


Alex pikat Karathu. foto by Shazli TRW


WALAUPUN hanya turun beraksi pada dua perlawanan persahabatan, penyerang pinjaman Kelantan dari Pahang, Azamuddin Mohd Akil pantas menambat hati pengendali The Red Warriors, Datuk M Karathu.

Ketajaman penyudah yang dimiliki penyerang berusia 27 tahun itu terbukti apabila meledak gol tunggal untuk membolehkan The Red Warriors menewaskan Selangor pada Rabu lalu selain turut menyumbang satu jaringan ketika membelasah Kuala Lumpur 5-0 beberapa hari sebelum itu.


Perkembangan positif itu dilihat mampu menyelesaikan masalah jentera serangan Kelantan yang dilihat banyak bergantung kepada penyerang sensasi negara, Norshahrul Idlan Talaha sepanjang musim ini selepas kemungkinan hilang Mohd Izuan Salahuddin (bersama skuad Olimpik) dan prestasi tidak konsisten beberapa penyerang lain.

“Dia adalah pemain yang bagus. Saya memang berharap kombinasinya bersama Norshahrul serta Mohd Badri Radzi dapat meningkat lagi pada beberapa perlawanan persahabatan yang diatur selepas ini.


“Mungkin lebih banyak jaringan akan dapat dihasilkan selepas ini apabila persefahaman antara Azamuddin dan Norshahrul semakin mantap,” kata Karathu.


Selain menilai aksi Azamuddin, pengendali berusia 68 tahun itu juga dilihat semakin yakin terhadap keupayaan penjaga gol kedua Kelantan, Mohd Shahrizan Ismail untuk menggantikan posisi kapten skuad Olimpik negara, Khairul Fahmi Che Mat yang dijangka terlepas beberapa perlawanan awal peringkat kumpulan.

Malam kelmarin, aksi cemerlang penjaga gol itu membantu Kelantan mencatat kemenangan 1-0 ke atas PDRM, perlawanan persahabatan terakhir juara bertahan Piala Malaysia itu di sekitar Lembah Klang.


The Red Warriors akan meneruskan perlawanan persahabatan menentang T-Team di Kota Bharu, Rabu depan dan menentang kelab Thailand, Songkhla FC dua hari kemudian.

Sumber: Harian Metro