15 August 2011

KELANTAN 5 - 0 KL : PENYERANG 'IMPORT' DARI PAHANG BERBISA




Penyerang pinjaman Kelantan iaitu Azamuddin Akil dan Surendran berjaya melepasi ujian pertama bersama The Red Warriors dengan cemerlang. Kedua-dua mereka telah berjaya menjaringkan gol pada aksi pertama bersama Kelantan dan memperlihatkan potensi untuk tampil bergandingan dengan Norshahrul Idlan Talaha pada kempen Piala Malaysia nanti.

M.Karathu menurunkan hampir ke semua pemain utama Kelantan kecuali Farisham Ismail, Zairul Fitrie dan Khairul fahmi Che Mat. Namun berita yang paling menggembirakan penyokong Kelantan ialah kembalinya penyerang sensasi, Norshahrul Idlan Talaha dari kecederaan hamstring. Walaupun Mat Yo tidak menjaringkan gol, namun keserasiannya dengan Azamuddin adalah memuaskan.

Penguasaan Kelantan pada hampir keseluruhan permainan menunjukkan betapa Kelantan melaungkan bahawa mereka sudah bersedia untuk mempertahankan Piala Malaysia yang di menangi pada tahun 2010.  Kelantan mempamerkan penguasaan bola di dalam kelas yang tersendiri apabila menundukkan Kuala Lumpur dengan jaringan 5 – 0.

Gol pertama hadir melalui gerakkan cantik oleh Azamudin Akil dengan Mat Yo di sebelah kiri padang dan Nurul Azwan Roya atau ‘Awe’ tenang menguis bola masuk untuk gol yang pertama pada minit ke 14. Kuala Lumpur cuba bangkit namun kesilapan penjaga gol Kuala Lumpur yang gagal menepis bola tendangan Daudsu dan bola di tanduk masuk oleh Azamuddin Akil untuk gol yang ke 2 untuk Kelantan.

Bermula babak kedua, Kelantan mengeluarkan Shakir Shaari dan memasukkan Khairan Eroza untuk bergandingan dengan Piya di bahagian tengah. Kelantan tidak menunggu lama dan gol ke 3 hadir melalui situasi kelam kabut di hadapan pintu gol Kuala Lumpur dan Piya tidak melepaskan peluang terhidang di hadapannya untuk menolak masuk bola ke gawang Kuala Lumpur.

 Selesa mendahului lawan dengan jaringan 3 -0, Dato’ M. karathu bertindak memasukkan Ramzul Zahini, K.Soley dan Surendran dan merehatkan Piya, Mat Yo dan Azamuddin Akil. K. Soley yang sudah agak lama tidak beraksi untuk Kelantan kelihatan sedikit gopoh namun beliau tenang menyudahkan peluang terbaiknya untuk menjaringkan gol ke 4 Kelantan selepas berjaya memperdayakan barisan pertahanan Kuala Lumpur.

Kelantan memasukkan hampir ke semua pemain simpanan mereka termasuk Aris Zaidi, Wan Zaman, Wan Rohaimi dan Nizad Ayub menjelang minit-minit akhir perlawanan. Surendran yang kelihatan sedikit ‘berat’ pada mulanya namun berjaya menghasilkan gol ke 5 untuk Kelantan melalui tendangan leret di dalam kotak penalti pada minit terakhir perlawanan.

Apapun, penonton jelas gembira dengan prestasi pasukan Kelantan sepanjang 90 minit perlawanan.  Kehadiran semula Halim Napi mengawal gawang Kelantan telah mengubati kerinduan ramai peminat Kelantan apabila mereka tidak putus-putus memberikan sorakkan dan tepukan setiap kali beliau menyentuh bola.

Sumber: MNM