24 August 2011

PRA PIALA MALAYSIA: KELANTAN VS T-TEAM


Aksi Mat Yo dan Azizi semasa Liga Super yang lalu


KOTA BHARU – Perlawanan persahabatan menentang pasukan berstatus kelab, T-Team di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini bakal menjadi medan terbaik bagi Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mencari kombinasi terbaik pasukannya.

Karathu berkata, walau berstatus perlawanan persahabatan, pertemuan dengan T-Team cukup sengit memandangkan pasukan itu dua kali mengatasi Kelantan dalam saingan Liga Super musim ini.

“Saya akui T-Team pasukan yang kuat kerana dibarisi pemain berpengalaman, namun saya mengambil kira faktor kombinasi pemain terbaik untuk pasukan kita dalam perlawanan ini,” katanya.

Beliau berkata, akan menurunkan barisan terbaik, namun pemain pinjaman, R Surendran terpaksa berehat selama tiga minggu kerana mengalami keretakan buku lali.

“Saya kini hanya ada empat pemain iaitu Norshahrul Idlan (Talaha), Azammuddin (Mohd Akil), Mohd Nizab (Ayub) dan Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) di bahagian serangan,

“Saya juga masih tidak berpuas hati dengan tahap kecergasan pemain yang hanya mencapai sekitar 70 peratus. Mereka ada seminggu lagi untuk mencapai tahap yang saya kehendaki,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Karathu tidak mahu terlalu yakin atas kejayaan The Red Warriors memenangi kesemua tiga perlawanan persahabatan pra Piala Malaysia yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini.

“Memang kita menang besar 5-0 ke atas Kuala Lumpur tetapi mereka juga main dengan baik, kita anggap perlawanan itu sebagai satu latihan dan saya lihat sudah ada kemajuan di bahagian serangan kita,” katanya.

Menurutnya, dengan Selangor pasukannya menang 1-0 dan beraksi cemerlang, namun pasukan berkenaan memberi tekanan kepada Kelantan.

“Itu sesuatu yang bagus, saya mahu pasukan kita merasai tekanan setiap kali beraksi di luar.

“Ia penting sebagai persediaan menghadapi Sarawak pada perlawanan pertama kempen Piala Malaysia nanti,” katanya.

Mengulas mengenai tekanan mempertahankan kejuaraan dimenangi musim lalu, Karathu berkeyakinan tinggi dan tidak mahu menutup aksi Liga Malaysia musim ini dengan sesuatu yang mengecewakan.

“Sebagai juara bertahan kita mahu mempertahankannya, kalau semua pemain bekerja kuat, tiada alasan kita tidak boleh menang.

“Saya yakin kita mampu mara ke saingan suku akhir dan kita tidak boleh melakukan kesilapan bermula di suku akhir itu,” katanya.

Sumber: Kelate.net