15 September 2011

FELDA UNITED 2-0 KELANTAN: PENGAJARAN BERGUNA BAGI THE RED WARRIORS

Azamuddin Akil cuba melepasi pertahanan Felda United


Kelantan tewas untuk kali pertama dalam saingan peringkat kumpulan C Piala Malaysia kepada Felda United dengan jaringan 2-0 di Stadium Selayang.

Felda United sebelum ini tidak pernah mencatatkan sebarang kemenangan dengan pasukan Kelantan dalam 6 pertemuan mereka.

Gol-gol Felda United di jaringkan oleh Faderin Kadir pada minit ke 27 dan D. Sarvindran di minit ke 67. Kemenangan ini meletakkan Felda United di puncak kumpulan C dengan 9 mata dan Kelantan di tempat ke dua dengan 6 mata.

Kelantan yang jelas menguasai perlawanan dan melakukan banyak serangan namun gagal merobohkan pertahanan Felda United yang di ketuai oleh bekas pemain pertahanan kebangsaan Khairunnisam Shihabuddin.

Felda United mempamerkan disiplin bertahan yang kemas sepanjang perlawanan dan bijak menyerap setiap asakan dari Kelantan yang bertali arus dengan penjaga gol mereka, Hamsani Ahmad di anggap sebagai pemain terbaik perlawanan.

D. Sarvindran yang di pinjam dari pasukan Harimau Muda B mempamerkan mutu permainan yang mengagumkan apabila 2 gol Felda United adalah hasil rembatan derasnya dari luar kotak penalti Kelantan.

Beliau juga merupakan Kapten pasukan Harimau Muda B dan sebelum ini telah di senaraikan oleh pasukan Selangor untuk saingan Piala Malaysia tetapi di gugurkan pada saat-saat akhir pendaftaran pinjaman pemain dan di gantikan dengan penjaga gol dari USM FC.

Kelantan walau bagaimanapun telah mempamerkan aksi yang lebih baik pada malam ini berbanding dengan 2 perlawanan menentang Sarawak dan Johor FC. Mereka mendominasi permainan dengan gerakan dan hantaran yang kemas, namun sedikit kealpaan pemain pertahanan mengakibatkan mereka kehilangan 3 mata berharga dan kedudukan sebagai pendahulu Kumpulan C.

The Red Warriors akan meneruskan saingan peringkat kumpulan pada pusingan yang ke 2 bermula dengan melayani kunjungan pasukan Sarawak pada 18 September  ini di Stadium Sultan Muhammad ke IV.