19 September 2011

KELANTAN 4-0 SARAWAK: PIYA NADI THE RED WARRIORS

Piya meraikan jaringan pertamanya.- foto oleh shazli TRW

Semangat juang hingga ke minit akhir perlawanan membuahkan hasil lumayan kepada pasukan Kelantan apabila menumbangkan Sarawak dengan jaringan 4-0 di Stadium Sultan Muhammad ke IV malam tadi.

Kelantan bermula garang dengan melancarkan serangan demi serangan ke kubu Sarawak namun pertahanan Sarawak utuh menahan setiap asakkan.

Penguasaan bola jelas berpihak kepada pasukan Kelantan dengan Sarawak hanya mampu bertahan. Corak permainan Kelantan yang gemar menghantar bola tinggi dan membuat hantaran-hantaran jauh semasa membuat serangan bagaimanapun senang di patahkan oleh pertahanan Sarawak yang di kemudi oleh Hairol Mokhtar.

Kelantan gagal memperolehi gol pada separuh masa pertama walaupun mempunyai banyak peluang dan kecermerlangan penjaga gol Sarawak, Aidil Mohamad turut bertindak cemerlang menyekat setiap percubaan dari pemain Kelantan.

Ketika perlawanan seolah-olah mahu mengulangi skrip yang sama ketika Kelantan tewas kepada Felda United tempoh hari, Kapten kelantan, Badri Radzi mencuri tumpuan dengan menjaringkan gol pertama Kelantan setelah menewaskan 4 pertahanan Sarawak pada minit ke 81.

Kemasukkan Danial Fadli dan Ramzul Zahini banyak membantu menggerakkan bahagian serangan Kelantan dan memberikan Badri Radzi lebih banyak ruang untuk naik ke atas dan bergandingan dengan Norshahrul Idlan Talaha.

Badri Radzi atau Piya turut terlibat di dalam jaringan ke 2 dan ke 3 Kelantan apabila hantarannya yang cantik bijak di sempurnakan oleh Norshahrul dan Danial Fadli pada minit ke 86 dan 87.

Piya melengkapkan kemenangan bergaya Kelantan apabila merembat kencang bola hantaran Nizad Ayub untuk gol ke 4 di waktu kecederaan.

Kemenangan ini meletakkan Kelantan di tangga ke dua kumpulan C dengan 9 mata di belakang Felda United yang telah layak ke pusingan suku akhir.

Kelantan akan berkunjung ke Johor Bharu pada 24 September dan perlu menundukkan pasukan tuan rumah bagi mengesahkan slot ke suku akhir Piala Malaysia.