21 September 2011

MISI 33 TIPIS: DEVAN LETAK JAWATAN

 

JODOH pengendali Selangor, K. Devan bersama Gergasi Merah Kuning akhirnya terlerai sudah.

Kelmarin, beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada pihak Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Ia disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Amin dalam satu sidang akhbar tergempar di Shah Alam petang semalam.

Dengan pengunduran Devan, 'kerusi panas' Selangor itu kini digalas penolong jurulatih, P. Maniam yang pastinya mempunyai tanggungjawab yang cukup besar meneruskan sisa-sisa perjuangan Gergasi Merah dalam kancah saingan Piala Malaysia selepas ini.

Malah, ketidakhadiran Devan semasa sidang akhbar itu juga dilihat kurang profesional.

Ketika dihubungi Kosmo! kelmarin, Devan juga enggan mengesahkan perkara tersebut, sebaliknya hanya memberitahu: "Saya simpan komen saya berhubung perkara itu (peletakan jawatan)".

Difahamkan, keputusan Devan mengundur diri kerana 'tekanan' daripada penyokong fanatik Selangor yang mula resah dengan prestasi merudum Gergasi Merah pada kempen Piala Malaysia musim ini.

Bagi Hamidin, 'jodoh' Devan bersama Selangor sejak mengambil alih tugas daripada Dollah Salleh pada 2008, kini sudah ternoktah dan pihaknya terpaksa menghormati keputusan bekas jurulatih Negeri Sembilan itu.

"Sukar untuk kami menerima keputusan beliau (Devan), khidmatnya masih diperlukan.

"Namun, kami tetap mengucapkan terima kasih kepada Devan atas sumbangan beliau selama ini bersama Selangor dan kami doakan beliau sentiasa maju jaya," katanya ketika ditemui pemberita di padang SUK Shah Alam semalam.

Hamidin juga enggan mengulas lanjut mengenai ketidakhadiran Devan semasa sidang akhbar tersebut dengan memberitahu, jurulatih berkenaan kini memerlukan rehat walaupun meninggalkan Selangor sebelum tamat kontrak.

Menurutnya, tiada sebarang masalah atau perselisihan wujud di antara FAS dan Devan dalam tempoh perkhidmatannya sejak tiga tahun lalu.

"Saya boleh katakan bahawa sekarang adalah tempoh untuk beliau (Devan) berehat.

"Ini kerana, Devan adalah jurulatih yang bagus dan berpengalaman. Beliau sebenarnya banyak membantu Selangor, cuma keadaan pasukan ini sekarang yang agak tertekan dengan prestasi kurang baik," ujarnya.

Kosmo