6 September 2011

NEGERI SEMBILAN 2-1 PKNS FC




KUALA LUMPUR, - Negeri Sembilan memulakan kempen Piala Malaysia 2011 mereka dengan langkah kanan setelah berjaya mengatasi Selangor PKNS 2-1 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya walaupun terpaksa beraksi dengan hanya 10 pemain setelah penjaga gol, Farizal Marlias dilayangkan kad merah.
Skuad kendalian Mohd Azraai Khor itu bermula agak gugup apabila membiarkan pasukan tuan rumah mendominasi permainan dan mengatur asakan demi asakan ke arah pintu gol Negeri Sembilan.
Kegigihan PKNS membuahkan hasil pada minit kelapan apabila kesilapan Farizal yang keluar daripada posisi untuk menghalang percubaan PKNS dihukum oleh Mohd Norhafizuan. Pemain PKNS itu tenang menendang bola ke dalam gawang yang kosong, sekaligus memberikan jurulatih, Haji Rahman Ibrahim sebab untuk tersenyum.
Namun begitu, kegembiraan PKNS tidak bertahan lama apabila tujuh minit kemudian Hairuddin Omar bijak menanduk masuk hantaran jauh hasil sepakan percuma dari luar kotak penalti PKNS untuk menyamakan kedudukan.
Gol tersebut akhirnya membuka ruang buat kedua-dua pasukan untuk beraksi dengan lebih menarik dan PKNS tidak langsung menunjukkan rasa gentar terhadap Negeri Sembilan apabila terus menggandakan asakan demi mencari gol kedua.

Ketika babak pertama semakin menghampiri penamatnya, giliran Negeri Sembilan pula mencipta kejutan tatkala para pemain PKNS sudah mula keletihan apabila Shahurain Abu Samah menjaringkan gol cantik dari luar kotak penalti.
Gol pada minit ke-44 itu menyentak semangat PKNS namun pasukan tuan rumah itu keluar dari bilik persalinan dengan penuh semangat baru pada separuh masa kedua, tetapi Negeri Sembilan pula yang kelihatan lebih berbahaya apabila Firdaus Azizul merempuh masuk ke dalam kotak penalti PKNS namun pengadil tidak mengendahkan rayuan penalti setelah pemain itu dijatuhkan.
Farizal Marlias terus menjadi duri dalam daging buat Negeri Sembilan apabila tindakannya menerjah penyerang PKNS di luar kotak penalti ketika situasi satu lawan satu mengakibatkan penjaga gol kebangsaan itu diperintah keluar padang oleh pengadil. Walaupun cuba merayu namun jelas Farizal bersalah kerana kedudukan jelas memberi kelebihan kepada PKNS ketika itu.
Mohd Fauzan berjaya mencemaskan penjaga gol simpanan Negeri Sembilan, Farizal Harun dengan sepakan percumanya namun Farizal berjaya menangkap semula bola yang terlepas daripada dakapannya itu.
Negeri Sembilan bagaimanapun berjaya mempamerkan disiplin yang tinggi selepas itu apabila menyerap asakan demi asakan oleh barisan serangan PKNS, di mana Norhafiz Zamani Misbah berjaya mengemudi barisan pertahanan Negeri Sembilan dengan baik.

Nadi Arena