6 September 2011

TERENGGANU BERMULA GARANG



KUALA LUMPUR,- Terengganu bermula garang dalam aksi pembukaan peringkat kumpulan, Piala Malaysia selepas membenam Kl Sime Darby FC 3-0 ketika perlawanan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Pada pertemuan kumpulan B itu, Skuad pantai timur meraih gol pembukaan seawal minit ke-5 selepas Joseph Kalang Tie berjaya menanduk masuk ketika keadaan kelam kabut berlaku dalam kotak penalti Sime Darby.
Gol tersebut jelas menjadi pemangkin semangat pemain Terengganu yang kemudiannya kerap melancarkan serangan-serangan berbahaya ke arah kubu Sime Darby.
Hantaran dan larian menarik oleh pemain Terengganu terutamanya Joseph Kalang, Abdul Hadi dan Abdul Manaf Mamat cukup berupaya untuk mengelirukan dan memaksa pertahanan Sime Darby untuk bekerja Keras.
Usaha Terengganu akhirnya berjaya membuahkan gol kedua selepas Reeshafiq Alwi menggegarkan gawang Sime Darby dengan rembatan deras di luar kotak penalti.
Bagaimanapun, dalam aksi di separuh masa kedua Sime Darby mempamerkan peningkatan sehingga memperoleh beberapa peluang, namun ia masih tidak cukup untuk memecahkan kubu Terengganu.
Penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbiniee Allawee harus dipuji apabila mempamerkan aksi menarik menyelamatkan serangan-serangan lawan.
Biarpun selesa dengan mendahului dua gol, Terengganu dilihat tetap dahagakan gol. Pada minit ke-79 Abdul Manaf pula mencipta gol ketiga Terengganu menerusi lambungan cantik untuk melepasi penjaga gol Sime Darby Soffuan Tawil.
Manaf mendapat peluang itu selepas mendapat bola lorongan daripada Mohd Aiilim yang dibawa masuk menggantikan Mohd Ashaari Samsudin dan sekaligus melengkapkan kemenangan Terengganu.
"Saya berpuas hati dengan mutu persembahan yang ditunjukkan pemain-pemain pada malam ini. Saya sering tekankan kepada pemain, kita perlu bekerja keras hingga ke wisel penamat dan jangan memandang rendah pihak lawan.
"Setiap perlawanan adalah berharga lebih-lebih lagi kita mempunyai harapan besar dalam Piala Malaysia ini. Kita akan berusaha untuk memenangi satu demi satu perlawanan," kata Jurulatih Irfan Bakti.

nadi arena