1 October 2011

TERENGGANU MULA 'PERANG PSIKOLOGI' DENGAN KELANTAN

Terengganu sudah mula melancarkan perang psikologi ke atas seteru utama, Kelantan ketika pertembungan kedua- dua pasukan terbaik negara itu di peringkat suku akhir Piala Malaysia masih berbaki 10 hari lagi.

Malah jurulatih Terengganu, Irfan Bakti mengakui anak- anak buahnya tidak akan gentar untuk berdepan Kelantan dalam misi memburu slot ke pusingan separuh akhir.

Katanya, rekod lalu telah membuktikan bahawa Terengganu mampu menewaskan pasukan gergasi Pantai Timur itu seperti mana yang telah berlaku pada final Piala FA, Jun lalu.

"Saya bertanyakan kepada pemain dan mereka dengan penuh semangat mengatakan tidak kisah untuk berjumpa Kelantan.

"Jadi, tiada sebab untuk kami takut dan kami sedia untuk berdepan mana-mana pasukan kerana kami yakin dengan kemampuan yang ada pada skuad Terengganu," kata Irfan kepada Kosmo! semalam.

Terengganu yang juga juara Piala FA 2011 dijadualkan menentang Kelantan selaku juara Liga Super pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia, 10 Oktober ini di Kuala Terengganu.

Pertemuan kedua-dua pasukan itu turut mengulangi pertembungan final Piala FA di Bukit Jalil, Jun lalu yang menyaksikan Terengganu muncul juara menerusi penentuan di masa tambahan.

"Saya boleh katakan perlawanan ini adalah 'perlawanan akhir' bagi Piala Malaysia kerana menemukan juara antara juara.

"Mungkin ramai yang menganggap Kelantan sebagai pilihan untuk menang tetapi itu hanya di atas kertas sebelum perlawanan berlangsung," katanya lagi.

Irfan menjelaskan, pengalaman menentang Kelantan dalam dua aksi Liga Super selain pada perlawanan akhir Piala FA memberi banyak maklumat kepadanya untuk menewaskan pasukan jiran mereka itu.

"Kelantan merupakan pasukan yang mempunyai corak permainan pantas dan saya tahu bagaimana cara untuk mengekang pasukan ini.

"Tumpuan saya kini adalah untuk meningkatkan kecergasan para pemain kerana kami akan berdepan dua perlawanan sukar di Kuala Terengganu dan Kota Bharu," katanya.

Kosmo Sukan