21 September 2011

WAN ZACK HAIKAL DAN IRFAN FAZAIL TEKAD MAHU ROBEK GAWANG JEPUN

 

MEREKA memiliki banyak persamaan, sama ada di dalam mahupun di luar padang.

Selain sama-sama 'berguru' bersama kelab Liga Corgon Slovakia, ViOn Zlate Moravce, kedua-dua tonggak Olimpik negara, Mohd. Irfan Fazail dan Wan Zack Haikal Wan Nor juga dikhabarkan masih belum cergas sepenuhnya menjelang pertemuan dengan gergasi Asia, Jepun pada aksi pembukaan Kumpulan C, pusingan akhir Kela- yakan Olimpik 2012 Zon Asia di Stadium Tosu, Fukuoka malam ini.

Ibarat harimau terluka, kedua-dua pemain itu pastinya lebih berbahaya sekiranya tetap menjadi pilihan pengendali skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee bagi merobek ego Samurai Biru sebagai jaguh di rantau Asia.

Apa yang pasti, kecederaan tersebut langsung tidak mengganggu konsentrasi Irfan dan Wan Zack yang tetap teruja untuk beraksi dan hanya menunggu 'lampu hijau' daripada Kim Swee untuk diturunkan.

Irfan berkata, dia hanya mengikut arahan jurulatih dan tetap bersedia dari segi mental dan fizikal sekiranya diturunkan Kim Swee.

"Saya sebenarnya tidak sabar beraksi dan ingin membawakan satu watak penting dalam pasukan meskipun kadang-kadang terganggu dengan kecederaan lutut kanan.

"Apa pun, terpulang kepada kehendak jurulatih, sebagai pemain saya tetap bersedia bila-bila masa," katanya.

Nada sama turut disuarakan Wan Zack yang optimis mampu menggempur kubu Jepun meskipun tidak cergas sepenuhnya gara-gara kecederaan pangkal paha.

Ilmu yang dituntut sepanjang berada di bumi Slovakia sebelum ini juga katanya, banyak mempengaruhi corak permainan beliau yang kini dilihat semakin matang membuat sebarang keputusan di tengah padang.

"Saya cuba memberikan aksi terbaik untuk menjaringkan gol ataupun mencipta peluang kepada rakan.

"Siapa yang menjaringkan gol tidak penting, yang penting kami boleh mencapai keputusan baik menentang Jepun walaupun menyedari ia bukan tugas yang mudah," katanya.

Begitupun, Kim Swee tidak begitu 'pening kepala' sekiranya Irfan dan Wan Zack tidak dapat beraksi selama 90 minit memandangkan beliau memiliki barisan pemain yang sama hebat seperti Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan K. Gurusamy yang berupaya menampung kekosongan kedua-dua pemain itu di bahagian tengah dan sayap.

"Kecederaan Irfan lebih serius berbanding Wan Zack, namun pada masa sama, saya lebih gemar bercakap mengenai keupayaan pasukan berbanding individu kerana kami bermain sebagai satu pasukan," katanya semasa dihubungi di Jepun semalam.

Kosmo