30 October 2011

NEGERI SEMBILAN 2-1 TERENGGANU: HAI-O BERBISA

Negeri Sembilan Johan Piala Malaysia 2011

Negeri Sembilan muncul pemenang Piala Malaysia edisi 2011 dengan mengalahkan Terengganu 2-1 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Walaupun menguasai untuk 20 minit pertama, Negeri Sembilan gagal menjaringkan gol awal dan Terengganu kelihatan berjaya mengimbangi perlawanan.

Perlawanan bermula perlahan di separuh masa kedua dan kedua-dua pasukan kelihatan berhati-hati semasa mengatur gerakan.

Namun perlawanan ‘hidup’ kembali setelah Terengganu berjaya menjaring gol pertama di minit ke 59 melalui satu gerakan serangan balas berbisa apabila Ashari Samsudin  menewaskan Farizal Marlias setelah bola terbias pada kaki pertahan Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan mula mengatur langkah mencari gol penyamaan dan ianya hadir melalui satu keadaan yang tidak terduga apabila bola hantaran Kunanlan yang mudah terlepas dari tangkapan penjaga gol Terengganu, Sarbinie Alawi untuk menghadiahkan gol penyamaan Negeri Sembilan pada minit ke 81.

Sarbinie Alawi terlepas bola tendangan Kunanlan
Di saat perlawanan seolah-olah akan di heret ke masa tambahan, Hairuddin Omar muncul ‘hero’ Negeri Sembilan apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan di minit ke 87 melalui satu tendangan cantik menewaskan sarbinie untuk kali ke dua.

Hairudin Omar merupakan pemain pertama yang berjaya menjaringkan gol kemenangan Piala Malaysia untuk 3 tahun berturut-turut mewakili dua pasukan yang berbeza.