2 October 2011

SELANGOR 0-1 SINGAPURA: SELANGOR KECEWA LAGI


SHAH ALAM 1 Okt. - Hasrat Pilihan Selangor untuk menghadiahkan trofi Piala Sultan Selangor sempena ulang tahun ke-10 pemerintahan Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak kesampaian apabila tunduk 0-1 kepada Pilihan Singapura di Stadium Shah Alam, malam ini.

Bertambah pedih, gol kemenangan Singapura diperolehi menerusi jaringan sendiri Mohd. Asraruddin Putra Omar yang tertanduk ke dalam gawang sendiri pada minit ke-65 selepas G. Jeevananthan gagal menumbuk bola dari kawasan bahaya.

Ini merupakan kekecewaan ketiga berturut-turut Selangor kepada Singapura, malah tahun lalu mereka dibelasah 6-0 dan pada 2009, mereka kalah 3-0 dalam perlawanan di Stadium Jalan Besar.

Jika tidak kerana kecekapan Jeevananthan, penjaga gol pinjaman USM FC, Selangor mungkin sudah tewas dengan jaringan yang lebih besar, malah jentera serangan mereka juga menghampakan, terutama Safee Sali yang beraksi di bawah tahap sebenar.

Kemenangan ini membolehkan Singapura pulang bersama hadiah kemenangan RM50,000, pada ketika Selangor, yang turut membariskan dua pemain import bekas pemain Liverpool, Jason McAteer dan bekas pemain Manchester United, Jesper Blomqvist sekadar meraih RM10,000.

- Utusan