26 November 2011

PIALA AFF SUZUKI 2012: DREAM TEAM HARIMAU MALAYA


Setelah Malaysia berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenangi di kejohanan sukan sea Indonesia, satu lagi tugas kejuaraan penting yang perlu di pertahankan ialah Piala AFF Suzuki yang dimenangi pada tahun lepas.

Piala Suzuki AFF edisi ke sembilan ini telah di putuskan oleh oleh AFF Council pada 19 Februari 2011 untuk dianjurkan bersama oleh Malaysia dan Thailand.

Misi skuad Rajagobal untuk mempertahankan Piala AFF tampak getir setelah pasukannya dikritik hebat setelah gagal melepasi kelayakan Piala Dunia apabila tewas mudah kepada Singapura. 

Skuad negara juga tunduk mudah kepada pasukan Australia dan hanya mampu mencatat keputusan seri dan kalah kepada India dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa.

Antara permasalahan yang di bangkitkan oleh ramai pengkritik sukan dan wartawan ialah pemilihan pemain yang dilakukan oleh Dato' K.Rajagobal yang dianggap mengutamakan pemain 'favorite' dan pemilihan pemain baru yang tidak berpengalaman.

Antara pendekatan yang diambil oleh Rajagobal ialah memilih pemain yang cemerlang dengan pasukan negeri berdasarkan prestasi semasa. Namun aksi mereka dilihat agak kurang menyerlah bersama pasukan kebangsaan berbanding mewakili pasukan negeri.

Setelah berakhirnya Sukan Sea Indonesia, skuad senior negara dilihat mampu kembali kepada kemuncak prestasi dengan suntikan bintang-bintang baru dari Harimau Muda seperti Mohd Nazmi Faiz, Zubir Azmi, Syahrul Izwari, Baddrol Bakhtiar, Irfan fazail, Wan Zack Haikal dan Wan Zaharulnizam.

Antara posisi yang dijangka akan dapat diperkuatkan ialah 'defensive midfielder' dengan kemasukan Nazmi Faiz kedalam skuad senior. Kehadiran Wan Zack dan Syahrul Azwari juga dilihat mampu menjalankan tugas di posisi yang di miliki oleh Amirulhadi Zainal. 

Ashaari Samsuddin juga semestinya kembali kedalam skuad utama negara setelah aksi konsisten dan cemerlang bersama Terengganu pada musim ini.