28 November 2011

KELAYAKAN OLIMPIK LONDON: MALAYSIA 2-3 BAHRAIN

Mahali Jazuli bersaing merebut bola semasa perlawanan Malaysia menentang Bahrain.

Malaysia menamatkan pusingan pertama perlawanan kumpulan C zon Asia dengan gagal meraih sebarang mata apabila tewas kepada Bahrain 3-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Biarpun selesa mendahului lawan yang bermain 10 orang dengan jaringan 2-0, Malaysia melepaskan tiga gol dalam 10 minit terakhir dan memberikan kemenangan pertama untuk Bahrain.

Kekalahan ini menyukarkan peluang Malaysia untuk merebut kedudukan naib juara kumpulan C dan menempah tempat ke pusingan play-off bagi mengiringi juara kumpulan yang layak secara automatik.

Pusingan kedua perlawanan kumpulan C akan bermula pada Februari 2012 di mana Malaysia akan berhadapan dengan Bahrain dan Syria di tempat lawan serta melayani kunjungan pendahulu kumpulan C, Jepun di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pemain muda berbakat, Mohd Nazmi Faiz terus menampilkan permainan yang cemerlang serta menjaringkan gol pertama Malaysia di minit ke 27. Mahali Jazuli menjaringkan gol kedua Malaysia di minit ke 60 hasil kesilapan penjaga gol dan pertahanan Bahrain.

Sebelum itu, Farhad Tareq diperintahkan keluar padang setelah mengasari pemain Malaysia, Mohd Afizie Faizal pada minit ke 55.

Kemasukan Feris Daniel dan Shukor bagi menggantikan Afizie dan Nazmi yang mengalami kecederaan dilihat gagal mengemudi bahagian tengah padang dan keadaan ini membenarkan pemain-pemain Bahrain melakukan asakan dan serangan berbahaya.

Penyerang Bahrain, Saad Sazah akhirnya berjaya menjaringkan gol pertama Bahrain diminit ke 80 apabila tendangan cantiknya gagal diselamatkan oleh Khairul Fahmi.

Gol tersebut berjaya membakar semangat pemain-pemain Bahrain untuk mencapai kemenangan dan ternyata pertahanan Malaysia yang tampak kepenatan gagal menyerap serangan tersebut dan Bahrain berjaya memperolehi dua gol diminit ke 84 dan 86 melalui jaringan Isa Ahmed.

Pujian harus diberikan kepada barisan pemain dan jurulatih Bahrain yang memberikan persembahan luarbiasa dan bersemangat walaupun kekurangan seorang pemain. Ternyata mereka layak untuk meraih tiga mata dan kembali manghidupkan peluang mereka di pusingan seterusnya.

Sementara itu Jepun mencatatkan kemenangan ketiga mereka dengan membenam Syria 2-1 dan kekal sebagai pendahulu kumpulan C. Berikut ialah carta kedudukan kumpulan C setelah tamat 3 perlawanan.

Kumpulan C
klik gambar untuk paparan lebih jelas

video gol Malaysia vs Bahrain