21 November 2011

MALAYSIA VS INDONESIA: KENAPA IA BUKAN SEKADAR BOLA SEPAK



Perlawanan akhir di antara dua negara serumpun malam ini tentunya menjanjikan aksi hebat dari pasukan bawah 23 tahun Malaysia dan Indonesia.

Seakan ulangan kepada perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2010 yang mana Malaysia memenangi kejuaraan ini untuk kali pertama, Indonesia sekali lagi muncul sebagai pencabar di perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea 2011 Jakarta.

Perlawanan ini menarik perhatian luar biasa di Indonesia sehingga kesemua tiket habis di jual dan ada sebahagian daripada mereka yang tidak sempat membelinya sanggup membakar kaunter tiket di Stadium Gelora Bung Karno semalam. 

Sememangnya daya penarik bagi penyokong dan peminat bola sepak di Indonesia begitu hebat apabila lawan mereka ialah Malaysia. Bagi mereka, bukan sekadar pingat emas yang di pertaruhkan bahkan perlawanan ini bakal menjadi 'medan tempur' dua negara.

Kontinjen Malaysia dalam semua acara yang di sertai di dalam kejohanan Sukan Sea ini turut menerima layanan 'istimewa' dari penyokong-penyokong tuan rumah dengan cacian, jeritan dan layanan yang menghina. Ternyata penyokong Indonesia begitu membenci Malaysia sehingga tidak menghormati lagu 'Negaraku' dan membuat bising apabila ianya di mainkan di stadium.

Majoriti rakyat Indonesia begitu membenci Malaysia yang pada mereka adalah 'maling' atau pencuri budaya, penindas yang menzalimi tenaga kerja Indonesia di Malaysia, perampas tanah Indonesia dan berbagai tuduhan yang tidak berasas lain.


Krisis diantara dua negara serumpun yang mempunyai hubungan darah dan sejarah bersama bermula pada tahun 1963 apabila Malaysia di bentuk merangkumi Sabah dan Serawak. Indonesia melancarkan operasi 'Ganyang Malaysia' selama 3 tahun kerana menyifatkan pembentukan Malaysia merupakan bayangan penjajahan Inggeris di Asia Tenggara.

Perjanjian di antara kedua negara menyaksikan hubungan ini pulih seketika namun kembali 'panas' apabila Malaysia mendapat hak ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan di Sabah pada tahun 2002 setelah menang di Mahkamah Antarabangsa The Hague, Belanda.


Media Indonesia yang berpusat di Jakarta adalah terdiri daripada 15 rangkaian TV dan 20 syarikat akhbar, suatu jumlah yang agak besar bagi bandar yang berkepadatan 12 juta orang. Media ini mempunyai kebebasan total didalam membuat laporan dan liputan seringkali menyiarkan berita yang kurang tepat dan isu yang dapat menarik perhatian pembaca demi untuk mengejar rating dan jualan.

Media mereka juga sentiasa menjadi kuda tunggangan pembangkang Indonesia yang gemar menimbulkan isu murahan untuk menarik simpati politik dan perhatian rakyat mereka yang majoritnya di himpit kemiskinan dan kesusahan hidup. Mereka menanamkan semangat kebencian pada Malaysia yang di dakwa sombong dan perlu di ajar.

Pelbagai isu dimainkan sebaiknya oleh media Indonesia untuk memburukkan Malaysia seperti isu layanan buruk pada Tenaga Kerja Indonesia yang di dera dan di zalimi, isu tahanan nelayan dan pegawai maritim yang di tahan oleh Malaysia, isu  perampasan tanah di Borneo, isu pencurian budaya Indonesia seperti Batik, tarian dan lain-lain.

Hasilnya lahirlah golongan-golongan di Indonesia yang kononnya hadir bagi membela bangsa dan negara meraka seperti kumpulan Bendera, Laskar Merah Putih, Forum Kebangsaan Indonesia dan Forum Betawai Rempug.

Mereka membuat demonstrasi di kedutaan Malaysia di Jakarta setiap kali timbul isu panas di antara kedua negara dan pernah bertindak diluar batasan apabila mereka sanggup menyerang dan menyapu najis pagar kedutaan  dan membakar bendera Malaysia.



Kumpulan Bendera dan Laskar Merah Putih pula melancarkan operasi sekatan jalan raya di Jakarta dengan bersenjatakan buluh runcing yang di tajamkan hujungnya untuk membersihkan Indonesia daripada rakyat Malaysia.

Golongan ini juga dipercayai iri hati dengan kemajuan dan kemakmuran Malaysia sedangkan mereka masih di himpit kemiskinan. Berdasarkan laporan majalah antarabangsa 'Newsweek', Malaysia berada dikedudukan ke 37 berbanding Indonesia di no 73 didalam senarai 'The Best Country in The World'.

Apapun, penulis menyifatkan hubungan di antara Malaysia dan Indonesia pada umumnya adalah masih baik dan perhubungan darah dan sejarah di antara kedua-dua negara adalah terlalu utuh dan kuat untuk dirosakkan oleh anasir-anasir jahat yang berkepentingan tersendiri.


Ini terbukti apabila hubungan di antara kerajaan Malaysia dan Indonesia di dalam bidang ekonomi, pendidikan dan politik berlangsung tanpa sebarang masalah besar. Malaysia dan Indonesia ternyata amat memerlukan di antara satu sama lain dan ini terbukti dengan kehadiran pelabur-pelabur dari kedua-dua negara di Malaysia dan Indonesia dan kehadiran tenaga kerja Indonesia yang terus mencari rezeki di Malaysia.

Mereka yang berdemonstrasi di jalanan di Indonesia itu juga adalah di dapati berasal daripada golongan miskin dan merempat yang sanggup melakukan apa sahaja termasuk membakar bendera Malaysia dengan upah serendah RM1 beserta sebungkus nasi dan seketul tempe.

Perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea malam ini sepatutnya menjadi penghubung dan jambatan di antara Malaysia dan Indonesia dan bukannya menjadi pentas permusuhan dan kebencian. Setidak-tidaknya kita boleh dan bisa melupakan masalah perhubungan ini selama 90 minit. Sukan ialah medan pertandingan yang bertujuan membina semangat kesukanan dan disiplin yang tinggi dan juga perasaan kecintaan kepada negara.



by: MNM