27 November 2011

PRA MUSIM LIGA SUPER 2012: KELANTAN 4-2 ATM FC

Danny Antwi muncul penjaring terbanyak Kelantan dalam aksi persahabatan. Foto: kredit to Dunia Warriors

Kelantan menewaskan pasukan bimbingan bekas jurulatih Mereka, B.Sathianathan iaitu ATM FC pada perlawanan persahabatan Pra-Musim Liga Super 2012 dengan jaringan 4-2 di Stadium MBPJ, malam tadi.

Penyerang import dari Ghana, Danny Antwi mendapat hatrik pertama untuk dirinya bersama skuad The Red Warriors apabila aksi cemerlang beliau memastikan Kelantan meneruskan rekod kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut dalam aksi persahabatan.

Separuh masa pertama berkesudahan 3-1 hasil  dua jaringan Danny Antwi dan satu jaringan Khairul Izuan Rosli. Hatrik Danny Antwi dilengkapkan  diminit ke 81 hasil tendangan penalti. ATM memperolehi 1 gol bagi setiap separuh masa.

Danny Antwi juga muncul sebagai penjaring terbanyak Kelantan sepanjang kempen perlawanan pra musim ini dengan jumlah jaringan sebanyak 5 gol. Danny telah menjaringkan dua gol semasa Kelantan menundukkan skuad kebangsaan Maldives 2-1.

Sementara itu penyerang kebangsaan Lubnan, Muhammad Ghaddar akan tiba dari Beirut pada 29 November ini dan terus melaporkan diri di kem latihan Kelantan di Seremban sebelum turun beraksi menentang Perak di Stadium Sultan Abdul Rahman, Paroi pada 1 Disember ini.

Kelantan juga akan diperkuatkan oleh tiga bekas pemain yang mencetuskan kontroversi musim lalu apabila berhijrah ke pasukan T-Team iaitu Indra Putra Mahyuddin, Norfarhan Mohamad dan Azizie Mat Rose. 

Mereka akan membuat penampilan 'pertama' bersama Muhammad Ghaddar dan pemain import lain apabila Kelantan dijangka akan menurunkan barisan terkuat mereka apabila menentang Perak dan Negeri sembilan.