19 December 2011

HARIMAU MUDA 4-1 CENTRAL COAST MARINERS: MASA UNTUK HIDUPKAN PELUANG KE LONDON 2012


Ong Kim Swee semasa sesi latihan bersama Harimau Malaya

Harimau Muda kendalian jurulatih Ong Kim Swee beraksi cemerlang hari ini apabila mudah menundukkan pasukan Liga Australia Central Coast Mariners dengan jaringan selesa 4-1.

Ahmad Fakri Saarani dan bintang muda negara, Nazmi Faiz mencuri tumpuan peminat bola sepak negara apabila mempamerkan aksi yang membanggakan dan mendapat pujian jurulatih Mariners.

Fakri menjaringkan gol pertama Harimau Muda sebelum Hazwan Bakri menambah 2 lagi gol. Thamil Arasu turut mencatat nama selaku penjaring apabila menjaringkan gol ke 4.

Kemenangan ini sekaligus menamatkan siri latihan dan perlawanan persahabatan di Australia dengan penutup yang menggembirakan setelah mencatat 2 kemenangan dan 1 kekalahan.

Namun yang paling mencuri tumpuan peminat Harimau Muda ialah kemunculan Ahmad Hazwan Bakri, penyerang Kuala Lumpur yang dahulunya kurang dikenali berbanding rakan-rakannya yang lain.

Beliau berjaya menjaringan 4 gol sepanjang 3 perlawanan di Australia dan membayangkan akan potensi dan kualiti penyudah yang dimiliknya mampu menyelesaikan masalah ketumpulan yang dihadapi oleh Harimau Muda.

Kini anak-anak buah Ong Kim Swee seharusnya membuktikan kemampuan mereka dipentas yang sebenar dengan memberikan aksi terbaik mereka di pusingan kedua Kelayakan Olimpik London 2012.

Walaupun Malaysia kini berkedudukan tercorot dalam kumpulan C tanpa sebarang mata namun peminat mengharapkan agar Harimau Muda dapat memberikan segala yang mereka ada dan kualiti sebenar mereka.

Jika kekalahan kepada Syria dan Bahrain bakal berulang dalam pertemuan Februari nanti, maka semua cerita-cerita manis semasa persiapan di Slovakia dan Australia akan dianggap sebagai sia-sia.

Ong Kim Swee sekarang memikul tugas berat untuk membimbing skuadnya sekali lagi bagi melepasi Kelayakan Olimpik London 2012.