23 December 2011

IZUAN SALAHUDDIN: DARI SKUAD PRESIDEN KELANTAN KE HARIMAU MUDA


Pemain muda berpotensi besar Kelantan, Mohd Izuan Salahuddin akan meninggalkan The Red Warriors bagi musim 2012 dan akan dipinjamkan kepada pasukan Harimau Muda.

Izuan akan menyertai pasukan bawah 23 tahun Malaysia ini bersama penyerang daripada Kuala Lumpur, Ahmad Hazwan Bakri dan bakal beraksi bersama rakan sepasukan dalam saingan Liga S bermula musim hadapan.

Pemain yang berasal dari Kota Bharu ini merupakan anggota skuad Piala Presiden Kelantan yang di serapkan ke pasukan senior The Red Warriors di dalam pertengahan kempen Liga Super yang lalu.

Dia merupakan penjaring terbanyak skuad presiden dan mendapat kepercayaan Dato’ M.Karathu untuk beraksi bersama skuad senior.

Izuan pantas membalas kepercayaan itu dengan menjaringkan 1 gol didalam penampilan pertamanya bersama skuad senior ketika Kelantan membelasah Felda United 6-0.

Anak muda yang baru berusia 21 tahun mula mencuri tumpuan peminat bola sepak negara apabila beraksi cemerlang bersama Kelantan malah berjaya menjaringkan gol di dalam beberapa perlawanan penting termasuk 1 gol ketika Kelantan menewaskan Terengganu 3-0 di Kuala Terengganu.

Aksi cemerlang Izuan juga telah menarik minat Pengurus Kelab Pelita Jaya ketika pasukan itu seri dengan Kelantan hasil jaringan Izuan ketika aksi persahabatan di Kota Bharu.

Jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee bagaimanapun pantas menyedari bakat dan potensi yang di miliki oleh pemain muda ini lalu memutuskan untuk menyenaraikannya dalam pasukan Harimau Muda.

Izuan turut dipanggil untuk kem latihan di Slovakia pada bulan Ogos 2011 dan terbabit dalam siri perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab Slovakia.

Dia berjaya menjaringkan gol pertamanya untuk Harimau Muda ketika menentang FC Levice dan membantu Harimau Muda menang dengan jaringan 1-0 dalam perlawanan tersebut.

Walaupun Izuan belum diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Harimau Muda dalam aksi Sukan Sea dan kelayakan Olimpik baru-baru ini, perkembangan dan potensi yang dipamerkan olehnya terus mendapat perhatian dan kepercayaan oleh Ong Kim Swee.