24 December 2011

KELANTAN 1-1 PERSEBAYA FC: PERSEBAYA HANYA MAMPU SERI WALAUPUN 2 PEMAIN KELANTAN DIBUANG PADANG

Ahmad Albab
Indra Putra menjaringkan gol dalam 2 aksi berturut-turut

Kelantan mencatat keputusan seri 1-1 dengan Persebaya FC dalam pertemuan pertama di Kota Bharu dalam perebutan Piala Perpaduan malam tadi di Stadium Sultan Muhammad ke IV.

Persebaya FC gagal menggunakan kelebihan apabila sekadar mampu seri dengan The Red Warriors yang bermain dengan 9 orang pemain apabila Azizie Mat Rose dan Nik Shahrul Azim dilayangkan kad merah.

Pada separuh masa pertama Kelantan kelihatan sukar untuk menguasai bola dan Persebaya FC kelihatan lebih merbahaya dengan gerakan mereka yang teratur dan kemas.

Corak permainan kasar oleh pemain Kelantan untuk mengekang kemaraan penyerang Persebaya mengundang padah apabila Azizie dan Nik Syahrul Azim dilayangkan kad merah pada minit ke 34 dan 69.

Kemasukan Badri Radzi menggantikan Norshahrul Idlan pada separuh masa kedua memberikan impak positif pada jentera serangan Kelantan dengan lorongan dan hantaran bola yang kemas dan tepat.

Kelantan berjaya mengekang pemain Persebaya FC dan menjaringkan gol pendahuluan melalui Indra Putra di minit ke 60 serta lebih menguasai perlawanan walaupon beraksi dengan 10 pemain.

Namun Persebaya FC dapat menyamakan kedudukan setelah Kelantan yang bermain 9 orang tidak mampu membendung kelicikan Andik Vermansyah yang bijak memperdayakan 3 orang pemain sebelum tenang menolak masuk bola diminit ke 85.

The Red Warriors masih berpeluang untuk merangkul 'Unity Cup' edisi pertama ini pada aksi kedua di Surabaya, Indonesia pada 28 Disember ini. 

Berdasarkan prestasi cemerlang barisan pertahanan, kepintaran Badri Radzi dan kemantapan Shakir Saari seperti yang dipamerkan pada perlawanan malam tadi, Kelantan seharusnya mampu menundukkan Persebaya FC di halaman mereka sendiri di Stadium 10 November, Surabaya.