31 December 2011

KENALI PREAH KHAN REACH FC, BAKAL LAWAN KELANTAN DI PIALA FA 2012

Preah Khan Reach FC (PKRFC) ialah juara Piala Hun Sen 2011 di Kemboja


FAM memutuskan untuk meluluskan permohonan sebuah kelab Kemboja, Preah Khan Reach FC untuk beraksi dalam saingan Piala FA 2012 bagi menggantikan pasukan Harimau Muda B.

Kehadiran  Preah Khan Reach FC pastinya akan merubah lanskap pertandingan dalam kumpulan B yang turut disertai oleh pasukan Kelantan, Kedah, Pahang dan lain-lain.

Sekiranya Kelantan berjaya menundukkan lawan mereka di pusingan pertama dan kedua, besar kemungkinan Kelantan akan berhadapan dengan kelab Kemboja ini di saingan suku akhir nanti.

Preah Khan Reach FC turut berpeluang ke suku akhir jika dilihat pada laluan mereka yang agak mudah berbanding dengan pasukan lain.

Preah Khan Reach FC ialah antara kelab yang terbaik di Kemboja dan menduduki tempat ke 3 pada saingan Liga Kemboja Metfone 2011 dibelakang Phnom Penh Crown dan Nagacorp FC. 

Mereka turut memenangi Piala Hun Sen 2011 setelah menundukkan Build Bright United pada perlawanan akhir hasil jaringan penyerang berbahaya mereka iaitu Khuon Laboravy dan Sam El Nasa.

PREAH KHAN REACH LAND HUN SEN CUP 2011
Khuon Laboravy merupakan penjaring terbanyak bagi PKR FC
Khuon Laboravy merupakan bintang dan penyerang utama PKR FC serta  berjaya mencatatkan nama sebagai penjaring kedua terbanyak Liga Kemboja Metfone dengan 14 gol.

Dia juga merupakan penjaring terbanyak dengan 22 gol dalam kejohanan Piala Hun Sen 2011 dalam saingan kalah mati yang melibatkan 28 pasukan daripada seluruh Kemboja.

PKR FC juga turut mempunyai 7 orang pemain yang beraksi dengan pasukan kebangsaan Kemboja termasuk Khuan Laboravy, Sam El Nasa, Tum Saray dan penjaga gol, Ouk Mik.

Kelab ini akan beraksi hanya dalam saingan Piala FA sahaja dan tidak akan terlibat dalam Piala Malaysia dan Liga Super seperti Singapura XI.

Mereka dibenarkan oleh FAM untuk beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai stadium utama dan semua perbelanjaan akan ditanggung oleh kelab tersebut.