11 December 2011

PRA MUSIM LIGA SUPER 2012: KELANTAN 2-0 T-TEAM

Ghaddar meraikan gol jaringan Indra Putra. Foto: Dunia Warriors


Kelantan meneruskan rentak cemerlang bagi perlawanan persahabatan pra-musim Liga super 2012 dengan membenam pasukan T-Team dengan jaringan 2-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke IV malam tadi.

Penyerang import sensasi dari Lubnan, Muhammad Ghaddar mempamerkan permainan yang cemerlang dan beraksi baik dengan Danny Antwi dari Ghana dan Norsyahrul Idlan Talaha.

Kelantan jelas mendominasi permainan pada separuh masa pertama dan melancarkan bertubi-tubi serangan dari awal permainan dan memaksa T-Team hanya bertahan.

Gandingan Norsyahrul, Antwi dan Ghaddar banyak mengkucar-kacirkan kubu lawan dan hasilnya Ghaddar berjaya menewaskan penjaga gol T-Team setelah menerima bola hantaran tepat dari Indra Putra di minit ke 21.

Indra turut mencatat nama selaku penjaring apabila bijak melorongkan bola melepasi pertahanan dan penjaga gol T-Team untuk gol ke dua Kelantan pada minit ke 49.

Aksi cemerlang bekas pemain T-Team yang kembali ke pangkuan The Red Warriors, Norfarhan, Azizi dan Indra Putra menggembirakan ramai penyokong setia Kelantan.

Kekuatan di setiap posisi dilihat kunci kepada kejayaan Kelantan pada musim depan dengan memiliki pemain gantian yang setaraf dengan pemain utama.

Kelantan bakal kembali dengan skuad yang dilihat lebih baik bagi Liga Super musim hadapan dan barisan pemain bagi musim 2012 kelihatan mampu menghadirkan cabaran bagi pasukan-pasukan handalan yang lain.


Kesebelasan Utama Kelantan vs T-Team

Syazwan Yusoff, Daudsu Jamaluddin, Subramaniam, Azizi Mat Rose, Aziz Ismail, Norfarhan, Shakir Shaari, Indra Putra Mahyudin, Norshahrul Idlan Talaha, Muhammed Ghaddar, Danny Antwi