26 December 2011

UNITY CUP: PERSEBAYA FC YAKIN DAPAT TEWASKAN KELANTAN 4-1

Divaldo Alves, jurulatih Persebaya FC  mahu Kelantan ditewaskan dengan jaringan 4-1
Setelah berjaya mengikat Kelantan dengan jaringan 1-1 di kubu lawan tempoh hari, Persebaya FC kini yakin dapat menewaskan juara Liga Super Malaysia 2011 itu di gelanggang sendiri.

Jurulatih Persebaya FC, Divaldo Alves meramalkan pasukannya akan dapat membenam Kelantan dengan perbezaan 3 gol pada aksi yang akan berlangsung di Stadium Gelora Bung Tomo, Surabaya 28 Disember ini.

Dia melahirkan keyakinan tersebut berdasarkan persembahan anak-anak buahnya yang berjaya mencapai objektif utama mereka untuk mendapat keputusan seri ketika beraksi di Kota Bharu.

Kelantan juga akan kehilangan 2 orang pemain tonggak mereka iaitu Azizi Mat Rose dan Nik Syahrul Azim yang dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan.

Namun begitu, Divaldo juga dikritik oleh segelintir peminat setia Persebaya yang mempersoalkan kemampuan pasukan mereka setelah hanya mampu seri walaupun berhadapan dengan sebuah pasukan yang kekurangan 2 orang pemain.

Kelantan dilihat sebagai beraksi dibawah kekuatan sebenar pada aksi pertama di Kota Bharu dan dijangka akan menurunkan barisan terkuat mereka untuk menjuarai 'piala' pertama bagi musim baru ini.

Skuad Kelantan dijadualkan akan tiba di Surabaya pada 26 Disember dan perlawanan ini nanti akan disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Dato' Sri Shabery Chik, Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dan CEO MSL, Stuart Ramalinggam.

Sumber: www.beritajatim.com