6 January 2012

BARISAN KEMUNGKINAN NEGERI SEMBILAN DI PIALA SUMBANGSIH 2012


Perlawanan Piala Sumbangsih edisi ke 28 ini dijangka tidak akan menjadi suatu perlawanan yang mudah bagi pasukan Kelantan walaupun dipilih sebagai 'favourite' untuk muncul sebagai juara.

Perubahan tempat perlawanan dari Kota Bharu ke Bukit Jalil menjadikan venue bagi tahun ini adalah 'neutral ground' walaupun Kelantan diberi status sebagai tuan rumah.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor dijangka akan menurunkan pemain-pemain terbaiknya berdasarkan prestasi mereka semasa siri ujian perlawanan persahabatan yang mereka adakan baru-baru ini.

Farizal Marlias akan turun sebagai pilihan utama penjaga gol dengan Badrolzaman sebagai simpanan dengan dibantu oleh empat benteng pertahanan.

Pertahanan tengah mungkin diisi oleh 'pertahanan terbaik Liga Super 2011' iaitu Norhafiz Zamani Misbah dan posisi yang dahulunya dimiliki oleh Aidil Zafuan mungkin akan diberikan kepada Zulfaizham yang baru dibawa masuk dari Kedah.

Bahagian bek kanan dijangka akan diisi oleh Qhairul Anwar Roslani sementara posisi bek kiri akan diambil oleh Tengku Qayyum yang menggantikan tempat Irwan Fadli Idrus yang turut beralih angin ke ATM FC.

Jentera tengah Negeri sembilan adalah kekuatan utama mereka dengan diketuai oleh Shukor Adan dan Halim Zainal, serta pemain sayap lincah S.Kunanlan di bahagian kiri dan Shahurain dibahagian kanan. Idris Karim juga berkemungkinan diturunkan sebagai pemain gantian.

Bahagian serangan pula Azraai Khor mungkin akan menggandingkan penyerang import baru mereka, Effa Owana dengan penyerang muda yang juga dibawa masuk daripada Kedah iaitu Ahmad Shakir Ali. Alternatif lain ialah penjaring terbanyak mereka musim lalu iaitu Firdaus Azizul.

Prestasi kedua pemain ini semasa perlawanan pra-musim adalah cemerlang dengan Owana berjaya mencatatkan hatrik pertamanya ketika menewaskan Harimau Muda B. 

Shakir Ali juga berjaya menjaringkan gol-gol penting ketika mencatatkan keputusan seri semasa perlawanan menentang kelab di Australia dan dia adalah penjaring terbanyak pasukannya sepanjang perlawanan pra-musim dengan 6 gol.

Kelemahan pasukan Negeri Sembilan mungkin berada dibahagian pertahanan dan boleh dieksploitasi oleh pemain Kelantan manakala pada posisi lain, Negeri Sembilan dilihat mempunyai barisan pemain yang berkualiti terutama di bahagian midfield dan sayap.

Penulis menjangkakan ia sebagai suatu perlawanan yang sengit dengan Kelantan memiliki sedikit kelebihan berbanding pasukan Negeri Sembilan yang terdiri daripada campuran pemain muda dan berpengalaman.