29 January 2012

JANGKAAN KESEBELASAN UTAMA HARIMAU MUDA VS BAHRAIN


Setelah menamatkan pusingan pertama kelayakan sukan Olimpik London kumpulan C dengan 3 kekalahan dan tanpa sebarang pungutan mata, pintu skuad negara ke London Julai ini seakan sudah tertutup.

Harimau Muda tewas 0-2 kepada Jepun di Tokyo, tewas 0-2 kepada Syria dan 2-3 kepada Bahrain di Stadium Nasional Bukit Jalil dan berkedudukan ditangga tercorot kumpulan C.


Setakat tiga perlawanan Harimau Muda hanya mampu menjaringkan 2 gol sahaja hasil jaringan pemain midfield, Nazmi Faiz dan pemain pertahanan, Mahali Jasuli semasa perlawanan menentang Bahrain.

Ketumpulan jentera serangan Harimau Muda yang sebelum ini dibarisi oleh Ahmad Fakree Saarani danThamil Arasu dijangka akan dapat diatasi dengan kembalinya Ahmad Hazwan Bakri dan Ahmad Shakir Ali ke dalam skuad utama.

Penyerang Kuala Lumpur kelahiran Labuan, Ahmad Hazwan Bakri cemerlang semasa siri perlawanan persahabatan dan latihan di Australia Disember lalu dengan menjaringkan 4 gol dalam 3 penampilan.

Sementara penyerang Negeri Sembilan dari Kedah, Ahmad Syakir Ali pula mendapat panggilan semula daripada Ong Kim Swee setelah mempamerkan aksi yang baik bersama pasukan barunya dengan 3 jaringan setakat ini.

Perlawanan menentang Bahrain di Manama Ahad depan sepatutnya digunakan sebaiknya oleh anak-anak buah Ong Kim Swee bagi mengembalikan keyakinan pemain dan peminat yang mengharapkan kemenangan serta menghidupkan semula peluang ke London.

Dengan kemunculan seorang lagi 'hero baru Malaya', Nazmi Faiz Mansur, serta kembalinya Wan Zack Haikal, Gary Steven Robart dan Wan Zaharulnizam dari kecederaan, Harimau Muda dilihat memiliki cukup kualiti bagi membuktikan keupayaan sebenar mereka.

Meskipun kehilangan tiga orang tonggak utama iaitu Izzaq Faris Ramlan (ACL), Syahrul Azwari yang (fitness) dan Fadhli Sas yang digantung perlawanan setelah menerima 2 kad kuning dalam perlawanan terakhirnya, Ong Kim Swee dilihat memiliki pemain gantian yang berkualiti.