5 January 2012

HAMIDIN SAHKAN TERENGGANU TIDAK LAYAK DAFTARKAN 2 PEMAIN IMPORT UNTUK LIGA SUPER

Frances Franky Doe menyerahkan kontrak kepada Presiden PBSNT
Foto daripada Terengganufansclub.com

Semalam Terengganu mengejutkan peminat bola sepak tempatan apabila menyatakan bahawa dua orang pemain import mereka yang baru didaftarkan akan dapat diturunkan didalam Liga Super Malaysia.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Dato' Che Mat Jusoh memaklumkan sedemikian semasa majlis menandatangani kontrak penaja dan pemain di Hotel Primula Beach, Terengganu.

Dua pemain itu ialah Francis Franky Doe dari Liberia dan Erison Da Silva Santos dari Brazil. Manakala permohonan pendaftaran seorang lagi pemain import dari Brazil, Tercio Nunes Machado telah ditarik balik baru-baru ini.

Dato' Che Mat Jusoh menyatakan bahawa PBSNT dibenarkan mendaftarkan dua pemain import tersebut sehingga tarikh 9 Januari 2012 oleh FAM berdasarkan surat pekeliling yang diterima pada 23 Disember lalu.

Pengumuman beliau ini walau bagaimanapun adalah bertentangan dengan keputusan yang telah diumumkan oleh FAM bahawa tarikh tutup pendaftaran pemain adalah 8 Disember 2011 dan pendaftaran kali kedua hanya akan dibuka semula pada 2 April 2012.

FAM hanya meluluskan 26 pemain daripada 35 pemain import yang didaftarkan oleh pasukan masing-masing berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh FIFA.

Menurut sumber daripada blog 'Suara Sukan Anda', Dato' Hamidin memberitahu penulisnya, Muhammad Aiman bahawa FAM tegas dengan keputusan untuk tidak membenarkan sebarang pendaftaran pemain import selepas daripada tarikh yang telah ditetapkan sebelum ini.

Ini bermakna Terengganu akan kekal beraksi dalam Liga Super dengan pemain tempatan dan hanya dapat menggunakan pemain import mereka dalam kejohanan Piala AFC sehinggalah mereka didaftarkan semula pada bulan April nanti untuk Liga Malaysia.

Ini akan memberikan sedikit tekanan kepada juara Piala FA, naib juara Liga Super dan Piala Malaysia musim 2011 ini untuk memulakan aksi musim baru 2012 tanpa kelibat pemain import seperti yang dimiliki oleh pasukan lawan.

Sumber: http://suarasukan1mas.blogspot.com/2012/01/kontroversi-lagi-terengganu-salah-faham.html