19 January 2012

KEDAH VS KELANTAN: PELUANG PULUN KEDAH DI ALOR STAR

Barisan kemungkinan Kedah vs Kelantan
Pertemuan Kelantan menentang Kedah pada 20 Januari ini akan mempertemukan dua pasukan yang menghuni tangga kedua dan kedua tercorot Liga Super musim ini.

Kelantan setelah 3 perlawanan berkedudukan ditangga kedua dengan 7 mata sementara Kedah hanya mampu mengutip 2 mata hasil dua seri dan tewas sekali.

Jentera serangan Kedah juga masih belum berjaya mencetak sebarang jaringan setakat ini namun dengan kembalinya kapten mereka, Baddrol Bakhtiar daripada kecederaan dijangka akan dapat membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Sementara itu Kelantan telah berjaya mengumpul 5 gol hasil jaringan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha, Indra Putra Mahyuddin dan Badri Radzi.

Perlawanan diramalkan akan berlangsung sengit apabila Kedah pastinya akan berusaha untuk mencatat kemenangan pertama mereka musim ini dan Kelantan turut mengintai peluang bagi mengutip 3 mata penuh sebelum 'bercuti' seminggu sempena Tahun Baru Cina.

Senarai Kemungkinan Kesebelasan Utama Kelantan FA

Kelantan dijangka akan menurunkan barisan pemain yang sama semasa menewaskan Johor FC di Kota Bharu Selasa lepas dengan Khairul Fahmi dan pemain-pemain pertahanan kekal di posisi mereka.

Bahagian midfield turut dijangka akan dibarisi oleh Badri Radzi, Shakir Saari, Indra Putra dan Norfarhan Mohamad dengan Nurul Azwan Roya, Chanturu dan Antwi sebagai pilihan tambahan.

Penyerang berbisa Kelantan, Norshahrul Idlan yang berada dalam prestasi terbaik dan telah menjaringkan 2 gol dijangka sekali lagi akan dipasangkan bersama penyerang Lebanon, Muhammad Ghaddar.

Senarai Kesebelasan Utama Kedah FA

Kedah FA dijangka akan mengekalkan penjaga gol, Abdul Hadi diposisinya setelah tidak dibolosi dalam 2 perlawanan berturut-turut dengan Fazliata, Sabre Mohd Abu,  Asmizi dan Fauzi Nan di barisan pertahanan.

Bahagian midfield pula diperkuatkan dengan Baddrol Bakhtiar dan Amar Rohidan, manakala Muhammad Fiqry dan Faizal Abu Bakar di bahagian kiri dan kanan dengan See Kok Leong yang diturunkan semasa menentang PKNS kembali ke bangku simpanan.

Penyerang dari Pulau Pinang, Abdul Latiff dijangka akan diturunkan bersama Khyril Muhymeen di bahagian serangan dengan pemain import dari Brazil, Daniel Baroni mungkin direhatkan atau mengambil posisi Amar Rohidan dibahagian midfield.