15 January 2012

KELANTAN VS JOHOR FC: THE RED WARRIORS TAK RELA BERKONGSI MATA

Barisan kemungkinan Kelantan & Johor FC

Setelah menewaskan Lions XII dan seri dengan PKNS FC, Kelantan akan meneruskan saingan Liga Super dengan melayani kunjungan pasukan Johor FC pada Selasa, 17 Januari di Stadium Sultan Muhammad ke IV.

Kelantan yang dikritik hebat oleh peminat kerana prestasi hambar ketika diikat 1-1 oleh PKNS dijangka akan menghadapi tentangan yang sengit daripada Johor FC.

Rekod pertemuan kedua-dua pasukan dalam 6 perlawanan Liga Super dari musim 2009-2011 jelas berpihak kepada Kelantan  berbanding Johor FC dengan Kelantan memenangi 4 perlawanan terakhir.

Namun Johor FC musim 2012 adalah pasukan yang jauh berbeza dengan musim-musim sebelumnya apabila mereka diperkuatkan dengan jurulatih terkemuka, K.Devan serta 11 orang pemain baru.

Johor FC membawa masuk Fauzi Saari dan Shafizan Hashim dari Kedah, serta Azi Shahril, Khaironnisam, Syazwan Zainon dan Zamri Chin dari Felda United, Zamir Selamat dari Harimau Muda dan beberapa pemain lain.

Peter Butler pula berkemungkinan akan menurunkan barisan terkuatnya bagi mengembalikan keyakinan peminat dan meraih 3 mata penuh dihalaman sendiri setelah keciciran 2 mata pada perlawanan sebelum ini.

K.Devan juga pasti tidak mahu dengan tangan kosong dan berdasarkan persembahan terakhir Kelantan, dia yakin Johor FC akan mendapat 'sesuatu' dari perlawanan di Kota Bharu.

Senarai Kemungkinan Kesebelasan Utama Kelantan:

Khairul Fahmi dijangka kembali ke posisi utamanya setelah direhatkan semasa menentang PKNS dengan Syazwan di letakkan dibangku simpanan.

'Back Four' Kelantan yang terdiri dari Subra, Farisham , Daudsu dan Aziz Ismail juga mungkin akan dikekalkan berdasarkan persembahan yang memuaskan dan hanya bolos 1 gol dalam setiap 2 perlawanan terakhir.

Gandingan Badri Radzi dan Shakir Saari juga dijangka akan diturunkan bersama Indra dan Farhan di bahagian sayap kanan dan kiri.

Norshahrul dan Mohamed Ghaddar akan kekal dibahagian serangan dengan Danny Antwi sebagai penyerang simpanan.

Senarai Kemungkinan Kesebelasan Utama Johor FC:

Zamir Selamat dijangka akan kembali merampas posisi penjaga gol daripada Anis Faron yang melepaskan 2 gol semasa Johor FC tewas kepada Negeri Sembilan.

Sementara Kharunnisam akan kekal dibahagian pertahanan bersama Khairi Kiman, Shafizan Hashim dan Hasni Zaidi dengan Ismail Suboh dan Izwan Jarudin di bangku simpanan.

Jentera pertengahan diketuai oleh Khairul Ismail bersama Shazwan Zainon dibahagian tengah serta Eddi Helmi dan Redhuan Maon di bahagian kiri dan kanan. Pilihan lain K.Devan diposisi ini ialah Azi Shahril dan Fauzi Saari.

Shahrizal Saad dan Zamri Chin dijangka akan dikekalkan dibahagian serangan dengan Haris Safwan dan Farid Idris sebagai  penyerang gantian.