1 January 2012

MAHU MENANG SEMUA PIALA 2012: PETER JAMES BUTLER ADA 'SEMUANYA'

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa mahu Butler bawa semua piala ke Kota Bharu


Misi yang telah ditetapkan kepada Peter James Butler bagi tahun ini ialah membawa semua piala yang dipertandingkan dalam Liga Malaysia ke bumi Kelantan.

Kelantan sebelum ini telah berjaya memenangi Piala Malaysia dan Liga Super pada musim 2010 dan 2011, serta muncul naib juara Piala FA pada 2009 dan 2011.

Peter Butler mesti memastikan pemain-pemainnya mencapai keupayaan dan potensi sebenar mereka dan mencari resepi terbaik untuk membentuk sebuah pasukan juara.

Diatas kertas, Kelantan dilihat memiliki semuanya daripada penjaga terbaik 'Asia Tenggara' dan 'Penjaga Gol Terbaik Liga Super' iaitu Khairul Fahmi Che Mat.

Kelantan juga mempunyai Norshahrul Idlan Talaha yang merangkul anugerah 'Penyerang Terbaik Liga Super' dan 'Pemain Paling Bernilai' serta penjaring kedua terbanyak Liga Super tahun 2011.

Kelantan turut mempunyai skuad yang besar dan lengkap, pemain import serta memiliki sekurang-kurangnya dua pemain berkaliber dan setaraf bagi setiap posisi dan boleh digilirkan bila-bila masa.

Dan yang paling penting, aset yang paling bernilai bagi Kelantan ialah penyokong-penyong mereka yang setia dan sentiasa memberikan sokongan yang padu kepada pasukan.

Alasan jadual yang padat, kepenatan dan kekurangan pemain berwibawa seharusnya tidak lagi kedengaran dan menjadi masalah kepada The Red Warriors.

Peter Butler sudah diberikan 'segalanya' bagi mencipta kejayaan dan dia mesti memulakannya dengan mempertahankan Piala Sumbangsih dan menewaskan Negeri Sembilan pada 7 Januari ini di Stadium Sultam Muhammad ke IV.