8 January 2012

NEGERI SEMBILAN 2-1 KELANTAN: AZRAAI KHOR KUNCI KEKUATAN SKUAD JANG


'The Pink Man' sekali lagi berjaya membawa kejayaan kepada Negeri Sembilan


Negeri Sembilan sekali lagi melakukan kejutan dan menjuarai Piala Sumbangsih buat kali pertama apabila mengalahkan juara bertahan, Kelantan dengan jaringan 2-1.

Kelantan yang dianggap sebagai pasukan pilihan untuk mempertahankan piala ini dan walaupun memiliki begitu ramai pemain bintang dan pelbagai persiapan awal, terpaksa tunduk kepada taktikal dan strategi yang direncanakan oleh Azraai Khor.

Azraai Khor Abdullah sekali lagi membuktikan kredibiliti beliau sebagai salah seorang jurulatih terbaik tempatan apabila berjaya memberikan satu lagi piala kepada Negeri Sembilan setelah memenangi Piala Malaysia Oktober lalu.

Bekas pemain kebangsaan pada tahun 1975-1978 ini juga merupakan satu-satunya jurulatih di Malaysia yang berjaya membimbing pasukan Kedah menjadi juara treble sebanyak dua kali iaitu pada musim 2006/2007 dan 2007/2008.

Beliau juga pernah mendapat 'Anugerah Jurulatih Pilihan' pada musim 2006/2007 dan 'Jurulatih Terbaik' pada musim berikutnya dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100 Plus & FAM.

Azraai Khor bagaimanapun meninggalkan Kedah pada musim 2009 setelah menghadapi masalah dalaman dengan pihak pengurusan dan kemudian dilantik oleh FAM sebagai jurulatih utama pasukan Harimau Muda A.

Namun beliau sekali lagi diheret dalam masalah pengurusan apabila 'direhatkan' oleh FAM daripada tanggungjawab sebagai jurulatih Harimau Muda yang ketika itu berguru di Slovakia.

Kemunculan semula beliau dalam kancah bola sepak Malaysia dengan pasukan Negeri Sembilan dijangka akan mengangkat semula namanya sama seperti sewaktu dia bersama dengan pasukan Kedah.

Untuk rekod, Azraai Khor juga pernah membimbing pasukan Kelantan TNB pada musim 2002 sebelum menyertai pasukan negeri kelahirannya, Kedah.