3 January 2012

PIALA SUMBANGSIH 2012: MAMPUKAH NEGERI SEMBILAN ATASI KELANTAN?

Barisan pemain Negeri Sembilan musim 2012
Foto dari FB N9futbol.com

Piala sumbangsih edisi ke 28 akan sekali lagi mempertemukan juara Liga Super 2011, Kelantan dengan juara Piala Malaysia 2011, Negeri Sembilan pada 7 Januari 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Piala yang menandakan bermulanya musim baru Liga Malaysia ini akan cuba dipertahankan oleh Kelantan selaku juara bertahan setelah menundukkan Selangor pada 2011 dengan jaringan 2-0 di Shah Alam.

Manakala bagi Negeri Sembilan, ini adalah percubaan kali ketiga mereka dalam untuk mendapatkan Piala Sumbangsih setelah gagal memenanginya pada tahun tahun 2004 dan 2010.

Kehilangan beberapa pemain utama yang berhijrah ke pasukan ATM FC dilihat akan memberi kesan kepada peluang dan persiapan musim baru bagi skuad Jang.

Mereka kini tanpa kelibat penjaring terbanyak Piala Malaysia 2011 dengan 8 gol, Hairuddin Omar, 2  orang pertahanan kental iaitu Irwan Fadli Idrus dan Aidil Zafuan serta bekas penyerang utama kebangsaan, Zaquan Adha.

Negeri Sembilan juga tidak berbelanja besar musim ini apabila tidak membawa masuk pemain berstatus bintang tetapi memberikan kepercayaan kepada penyerang muda seperti Mohd Firdaus Azizul dan Ahmad Shakir Ali yang dibawa masuk daripada pasukan Kedah.

Walau bagaimanapun, Negeri Sembilan telah mendapatkan seorang penyerang import dari Cameroon, J.E Effa Owana dan berjaya mengekalkan pemain tonggak mereka iaitu S.Kunanlan dan Shahurain Abu Samah.

Mohd Firdaus Azizul merupakan penjaring terbanyak Negeri Sembilan dalam Liga Super 2011 dengan 7 gol manakala Shahurain Abu Samah pula mencatatkan 4 jaringan untuk Liga Super dan 6 gol dalam saingan Piala Malaysia 2011.

Kekuatan Negeri Sembilan pada musim ini adalah bersandarkan pada keringat orang lama seperti Mohd Shukor Adan, Norhafiz Zamani Misbah dan Idris Karim.

Diatas kertas, Kelantan dilihat sebagai pasukan pilihan dan memiliki kelebihan serta peluang untuk memenangi Piala Sumbangsih buat kali kedua berturut-turut.

Namun harus diingat bahawa Negeri Sembilan juga merupakan bukan pasukan pilihan pada perlawanan akhir Piala Malaysia lalu berbanding dengan pasukan Terengganu yang cemerlang sepanjang musim.

Tetapi mereka berjaya mengatur strategi dan bangkit dengan penuh dramatik di akhir minit perlawanan dan menewaskan juara Piala FA 2011 itu dengan jaringan 2-1.