15 February 2012

KELANTAN 1-2 SELANGOR: TEWAS PERTAMA KALI NAMUN MASIH DIPUNCAK LIGA



Pendahulu liga, Kelantan gagal mempertahankan rekod tanpa kalahnya apabila tewas (1-2) dalam perlawanan menentang Selangor yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil.

Selepas seminit perlawanan babak kedua dimulakan, Selangor meraih gol pembukaan menerusi Syafiq Rahim apabila dia berjaya merembat deras diluar kotak penalti yang terus menerjah jaring kiri gol pelawat, sekaligus meletakkan Selangor didepan.

Kemunculan pertama, tonggak import Bosko Balaban nyata membuahkan hasil apabila dia jelas tidak cemas untuk berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol Kelantan Khairul Fahmi Che Mat untuk menjaringkan gol kedua di minit ke-61.

Tersentak dengan jaringan berkenaan Kelantan melakukan serangan bertali arus dan mempunyai beberapa peluang terhidang namun sekali lagi gagal memecah kebuntuan mendapatkan gol penyamaan.

Kelantan maraih gol saguhati hanya di penghujung perlawanan hasil rembatan Subramaniam yang muncul dalam keadaan kelam kabut. Jaringan tersebut sedikit sebanyak menaikkan semangat barisan Kelantan, namun ia terlalu lewat untuk mengejar Selangor.

Terdahulu, Selangor sudah pun memiliki beberapa peluang terbaik di separuh masa pertama. Beberapa serangan dijelmakan oleh Safiq Rahim yang melorongkan bola kepada jentera pemusnah baru mereka yang berjaya mengawal bola dan membuat hantaran namun gagal disudah rakan.

Kelantan turut mencipta beberapa peluang terutamanya menerusi Norshahrul Idlan Talaha bersama gandingannya Indra Putra Mahyudin namun hampa apabila benteng pertahanan yang dikawal oleh Ramez Dayoub bijak membaca hantaran. Kebuntuan untuk mencari gol kekal hingga separuh masa pertama tamat.

Sumber: Nadi Arena