12 February 2012

KELANTAN 2-1 TERENGGANU: PENYU LEMAS DI KOTA BHARU

Baiano cuba menghalang Norshahrul Idlan
Foto kredit to J-Photography @ 

Kelantan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 7 perlawanan liga setakat ini dan mengutip 3 mata penuh apabila menundukkan Terengganu 2-1 di Stadium Sultan Muhammad ke IV malam tadi.

Kejayaan ini juga mengembalikan Kelantan ke posisi teratas Liga Super apabila sebuah lagi pasukan dari Terengganu, T-Team  berjaya menewaskan Perak dengan jaringan 2-0 di Kuala Terengganu.

Perubahan corak permainan dan barisan pemain Kelantan dengan Indra diletakkan bersama Norshahrul dibahagian serangan serta Nurul Azwan Roya dan Chanturu di bahagian sayap nyata telah memberikan hasil positif.

Kelantan mempamerkan permainan dan gerakan yang menarik hasil penguasaan bola dibahagian midfield oleh Shakir Saari dan Badri Radzi serta gerakan dan larian pantas oleh Nurul Azwan dan Chanturu.

Norshahrul Idlan meletakkan Kelantan dihadapan pada minit ke 37 setelah bola rembatannya hasil pertukaran hantaran bersama Nurul Azwan Roya terbias pada badan Mazuki Yusoff dan menerjah gawang Terengganu.

Penyerang import Terengganu dari Liberia yang berprofil tinggi, Franky Doe gagal menyerlah malam ini apabila setiap pergerakkannya berjaya dihalang oleh Obinna Nwaneri, pertahanan baharu Kelantan daripada Nigeria.

Kelantan menggandakan kedudukan setelah Badri Radzi yang betul-betul berada dihadapan pintu gol Terengganu mudah menanduk masuk bola hantaran daripada Indra Putra diminit ke 53.

Indra Putra memiliki sekurang-kurangnya 2 peluang terbaik untuk menjaringkan gol namun percubaan pertamanya diseparuh masa pertama sedikit tersasar dan jaringannya di separuh masa kedua dibatalkan kerana ofsaid.

Muhammad Ghaddar yang masuk menggantikan Nurul Azwan Roya pada babak akhir perlawanan juga gagal menambah jaringan Kelantan apabila tendangan penaltinya berjaya diselamatkan oleh Sharbinee Alawee diminit ke 85.

Sebaliknya Terengganu berjaya merapatkan kedudukan diminit akhir masa tambahan setelah kelekaan pertahanan Kelantan memberikan peluang kepada Ashari Samsuddin melakukan rambatan kencang dari dalam kotak penalti dan menewaskan Khairul Fahmi.

Kelantan dijadualkan akan menentang Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa depan, 14 Februari 2012.