29 February 2012

KENALI BOJAN HODAK, BAKAL JURULATIH BARU KELANTAN

Bojan kelihatan melatih pasukan Kelantan pada 27 Februari di Padang Mardi, Kota Bharu
Foto Kredit: Dunia Warriors
https://www.facebook.com/DuniaWarriors


Bojan Hodak, 41 tahun, berasal daripada Zagreb, Croatia mula menceburi bidang bola sepak sebagai pemain semasa berumur 16 tahun apabila dia menyertai kelab NK Trnje.

Posisi kegemarannya ialah pertahanan tengah dan antara kelab yang pernah diwakilinya di Croatia ialah NK Vrapce, NK Hrvatsi, Dragovaljac dan NK Ponikve.

Pada tahun 1997, Bojan memutuskan untuk menyambung kariernya di rantau Asia dan dia pernah mewakili Balestier Central dan Jurong FC di Singapura serta Hong Kong Rangers di Hong Kong.

Setelah mengakhiri kariernya sebagai pemain professional, Bojan mendapatkan sijil kejurulatihan ‘C’ AFC  pada tahun 2000 ketika menyertai program ‘Little League Soccer’ sebagai ketua jurulatih.

Bojan bermula sebagai ketua jurulatih di 'Little League Soccer'.
Little League Soccer  ialah sebuah program pembangunan bola sepak di sekolah-sekolah antarabangsa di Singapura dan Malaysia yang telah mencipta banyak kejayaan.

Bojan berjaya memperolehi lesen A kejurulatihan UEFA di Croatia pada tahun 2004 dan namanya mula dikenali ramai setelah dia menyertai program ‘Myteam’ bersama Shebby Singh, Khairy Jamaluddin dan Jason Lo pada tahun 2006.
Bojan mula dikenali menerusi kejayaan program Myteam pada tahun 2006 & 2007.
Myteam ialah sebuah program realiti TV yang telah berjaya menarik perhatian dan sokongan daripada kebanyakan peminat bola sepak di Malaysia di mana mereka menjelajahi seluruh negara mencari bakat-bakat baru dalam bola sepak.

Kejayaan Myteam menyertai dan menjadi naib johan Liga Perdana pada tahun 2007 membolehkan mereka menyertai Liga Super Malaysia pada tahun 2008.

Kemudian Bojan berkhidmat dengan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) selama tiga tahun sebagai penganalisa sebelum menjadi pengulas sukan sementara di beberapa rangkaian media Malaysia.

Bojan bersama kelab Phnom Penh Crown
Pada tahun 2011, Bojan dilantik sebagai jurulatih utama kelab Phnom Penh Crown di Kemboja dan berjaya membawa pasukannya kepuncak liga dan layak ke pusingan akhir Piala Presiden AFC.

Beliau kemudian diambil oleh kelab terbesar di China, Shandong Luneng pada June 2011 sebagai penolong jurulatih dimana kelabnya ini telah berjaya menamatkan Liga Super ditangga ke 5 serta menjadi naib juara Piala FA China.

Kontrak beliau dengan Shandong Luneng tamat pada Disember 2011 dan Bojan merupakan diantara calon bersama Peter Butler  untuk menjadi jurulatih utama Kelantan pada musim ini dimana Butler telah dipilih bagi menggantikan posisi Dato’ M.Karathu yang meletak jawatan.

Bojan dilantik sebagai CEO Army menggantikan B.Sathianathan
Walau bagaimanapun KAFA telah melantik Bojan Hodak sebagai CEO ARMY iaitu sebuah akademi pembangunan bola sepak Kelantan bagi mencungkil dan melatih pemain-pemain muda.

Berdasarkan rekod cemerlangnya bersama Myteam dan Little League Soccer, tugas mengesan, melatih dan membimbing pemain-pemain muda adalah merupakan kepakaran yang dimiliki oleh Bojan Hodak.