29 February 2012

MALAYSIA 1-1 FILIPINA: HARIMAU MALAYA NYARIS TERSUNGKUR DI MANILA

Ahmad Shakir Ali menjaringkan gol penyamaan Malaysia.


Pasukan Harimau Malaya terpaksa menunggu sehingga masa kecederaan untuk menembusi gawang Filipina apabila terikat 1-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Rizal Memorial.

Kedua-dua pasukan menampilkan semangat juang yang tinggi menerusi corak permainan terbuka dan pantas. Filipina menurunkan barisan terkuat mereka dengan beberapa pemain asing seperti Denis Wolf yang berpangkalan di Jerman, Jason de Jong (Belanda) dan Juan Luis Guirado (Sepanyol) serta kelibat dua beradik  Younghusband iaitu James dan Phil.

K. Rajagobal yang kembali menerapkan corak hantaran pendek dan pantas berdepan kesukaran untuk mencabar bola tinggi.

Hampir separuh babak pertama permainan menyaksikan pasukan kebangsaan agak lambat untuk menyesuaikan diri dengan permukaan padang sehingga tuan rumah lebih banyak mendominasi bahagian tengah.

Jentera serangan yang kembali diterajui Mohd Safee Sali yang kembali dalam kesebelasan utama negara cuba menguji pertahanan lawan dengan corak serangan pantas bagi mengimbangi percubaan-percubaan tepat yang dilancarkan Filipina.

Pada minit ke-24, Safee Sali yang melakukan larian disebelah kiri berjaya melepasi kawalan pertahanan sebelum membuat umpanan cantik kepada Safiq Rahim yang menyepak terlalu kuat.

Aksi Harimau Malaya semakin garang dan selang beberapa minit kemudian percubaan S. Kunanlan pula sedikit tersasar.

Bagaimanapun, keampuhan Farizal Marlias akhirnya dimusnahkan menerusi balingan jauh Jason Sabio yang tepat kepada Denis Wolf di depan gol.

Walaupun meningkat permainan dan memiliki peluang terbaik di depan kotak, Filipina nyata kental bertahan.

Rajagobal membuat dua pertukaran pada babak kedua dengan memasukkan Zaquan Adha Abdul Razak dan Amirizwan Taj Tajuddin.

Kemasukkan mereka banyak membantu tetapi masih gagal untuk memecah kebuntuan perlawanan.

Safee Sali yang tidak banyak mendapat umpanan berkualiti pula terpaksa mendapatkan bola dari bahagian tengah bagi memburu gol penyamaan yang menyaksikan penyerang Pelita Jaya itu hanya sekali mendapat peluang terbuka yang gagal disudahinya.

Kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan dan Juan Luis Guirado nyaris mendapatkan gol kedua buat Filipina tetapi kali ini dihampakan dengan tiang.

Selepas itu, giliran Safiq Rahim pula membuatkan penyokong tuan rumah gemuruh tetapi dikecewakan dengan ketangkasan penjaga gol muda kelab England, Fulham, Neil Etheridge.

Ahmad Shakir Mohd Ali yang dimasukkan pada minit-minit terakhir muncul watak wira apabila menyudahkan lorongan cantik Safee Sali bagi menafikan kemenangan Filipina beberapa saat melepasi masa sebenar perlawanan.

Sumber: Arena.my