6 February 2012

MALAYSIA 1-2 BAHRAIN: HARAPAN KE OLIMPIK LONDON 2012 TERKUBUR DI MANAMA

Malaysia tewas buat kali kedua kepada Bahrain
Foto: sokernet.com/files

Harapan tipis skuad negara untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik London Julai ini tertutup rapat apabila tewas kepada tuan rumah, Bahrain dengan jaringan 2-1 di Stadium Nasional Bahrain di Manama, malam tadi.

Bahrain memperolehi jaringan pertama diminit ke 26 apabila pemain Bahrain, Husain Hashem Mohamed Al Alawi merembat kencang dari luar kotak penalti menewaskan Khairul Fahmi setelah bola gagal dikeluarkan oleh pemain pertahanan Malaysia.

Malaysia menyamakan kedudukan diminit ke 84 melalui Ahmad Hazwan Bakri yang bijak menyudahkan hantaran dari Wan Zack Haikal dan menewaskan penjaga gol Bahrain, Ebrahim Khalil.

Jurulatih sementara Bahrain, Peter Taylor bertindak balas dengan memasukkan tiga orang pemain gantian sekaligus dan hasilnya Bahrain kembali mendahului Malaysia diminit ke 89 hasil jaringan cantik pemain tengah, Husain A. Jalil Khalil Al Farhan.

Kekalahan keempat berturut-turut dalam saingan kumpulan C ini tidak memberikan sebarang mata kepada Malaysia sementara peluang bagi Bahrain, Syria dan Jepun masih terbuka luas dengan baki dua perlawanan.

Sementara itu, Syria membuat kejutan dengan menundukkan Jepun 2-1 di Stadium Antarabangsa Raja Abdullah di Jordan sekaligus merampas kedudukan teratas kumpulan C dan berkongsi 9 mata dengan Jepun serta Bahrain mengutip 6 mata.

Malaysia yang sudah pun tersingkir dijadualkan akan menentang Jepun pada 22 Februari ini di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum melengkapkan jadual perlawanan dengan menentang Syria pada 14 Mac ini.