15 March 2012

KELANTAN VS PERAK: PREVIEW PRA-PERLAWANAN

Perak bakal menerima kunjungan pendahulu Liga Super, Kelantan pada Sabtu ini di Stadium Perak, Ipoh dengan misi mengembalikan keyakinan penyokong mereka setelah ditunjukkan jalan keluar daripada saingan Piala FA oleh Terengganu minggu lepas.

Perak tidak pernah tewas kepada Kelantan di Ipoh sejak musim 2010 dan muncul satu-satunya pasukan pada musim lepas yang berjaya memalukan juara Liga Super itu dengan jaringan 4-0 hasil jaringan Fazli Hazli, Shafik Jamal, Akmal Rizal dan Razali Umar Kandasamy.

Perak telah menunjukkan prestasi cemerlang pada musim ini dengan mengumpul 5 kemenangan, 1 seri dan 3 kekalahan serta menduduki tangga ke 5 Liga Super dengan 16 mata.

Namun kecemerlangan Perak sedikit merosot setelah mengalami 2 kekalahan berturut-turut kepada T-Team dan Singapura dalam aksi Liga Super dan hanya mampu seri 2-2 dengan PKNS selepas itu.

Rekod pertemuan Kelantan vs Perak 2009-2011, keputusan terkini kedua-dua pasukan
Bagi pasukan Kelantan yang masih segar dengan kejayaan melangkah ke suku akhir Piala FA, momentum kemenangan harus dikekalkan didalam jadual mereka yang padat dengan aksi Piala AFC, Liga Super dan Piala FA.

Selepas perlawanan menentang Perak, Kelantan akan ke Myanmar bagi menentang Ayeyawady United pada 21 Mac sebelum kembali ke Kuala Lumpur bagi aksi Suku Akhir pertama Piala FA menentang KL SPA 3 hari kemudian di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum aksi timbal balik di Kota Bharu pada 27 Mac.

Bojan Hodak semestinya mahu mengekalkan tahap kecergasan terbaik para pemainnya dengan merehatkan beberapa pemain utama yang masih belum cergas dan pada masa yang sama mahu mengutip 3 mata penuh di Ipoh.

Pemain harus diberikan tumpuan bagi pasukan Perak ialah Michal Kubala yang merupakan penjaring terbanyak Perak dengan 5 gol dan Akmal Rizal dengan 2 gol serta pemain sayap kanan lincah, Mohd Fazli Hazli.

Perak dilihat terlalu bergantung kepada Michal Kubala sewaktu penyerang import dari Serbia, Lazar Popovic masih belum mencatatkan sebarang jaringan musim ini manakala Akmal Rizal juga tumpul setelah hanya berjaya menjaringkan 2 gol dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan.

Cikgu Jan mungkin menurunkan Popovic bagi menandingi ketangkasan pertahanan Kelantan, Obinna Nwaneri dan memasukkan sama ada Failee atau Shafik Jamal di separuh masa.

Manakala Badri Radzi dan Norshahrul Idlan, sekiranya diturunkan juga mampu merubah keputusan perlawanan setelah masing-masing mengumpul 4 dan 5 gol setakat ini.

Norshahrul masih belum disahkan tahap kecergasannya namun telah mula menyertai latihan manakala Aziz Ismail, Subramaniam, Azizi Mat Rose pula mula menjalani latihan ringan.

Kali terakhir Kelantan berjaya menewaskan Perak di Ipoh ialah pada musim 2009 dimana Perak tewas tipis 2-3 hasil jaringan Norfarhan Muhammad di minit-minit akhir perlawanan setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam perlawanan yang berlangsung dalam hujan lebat.

BARISAN KEMUNGKINAN

KELANTAN
Khairul Fahmi Che Mat [gk]
Daudsu Jamaluddin
Farisham Ismail
Obinna Nwaneri
Zairul Fitrie
Indra Putra
Shakir Saari
Badri Radzi [c]
S.Chanturu
Norshahrul Idlan
Nwoha Onyekachi

PERAK
Mohd Nasril Nourdin
Mohd Noor Hazrul
K.Nantha Kumar
Mohd Khairi Zainuddin
Mohd Syazwan Roslan
Shahrulnizam Mustapha [c]
Michal Kubala
Fahrul Razi
Mohd Fazrul Hazli
Akmal Rizal 
Lazar Popovic