8 March 2012

PIALA AFC: KELANTAN 0-0 NAVIBANK SAIGON: KELANTAN PUNGUT 1 MATA BERHARGA

Obinna dan Em Phan berebut bola tinggi.
Foto: 


Kelantan dan Navibank Saigon masing-masing meraih satu mata dalam aksi pembukan kumpulan H, Piala AFC apabila kedua-dua pasukan terikat 0-0.

Hujan lebat ketika perlawanan berlangsung di Stadium Bukit Jalil sedikit sebanyak merencatkan corak permainan kedua-dua pihak. Namun serangan berbahaya berjaya dipamerkan dengan skuad pimpinan Bojan Hodak lebih banyak memiliki peluang keemasan.

Kelantan yang diperkuat dengan tiga tonggak import Mohamad Ghaddar, Denny Antwi dan Onyekachi Nwoha dilihat mempamerkan aksi lebih menyerlah biarpun tanpa sebarang jaringan dilakukan.

Ghaddar memiliki sekurang-kurangnya tiga peluang terbaik untuk membawa Kelantan menjarakkan diri dari Saigon. Pada minit ke-28 Ghaddar merebat deras kearah pintu gol ketika dia tidak dikawal ketat, namun ia sedikit tersasar kearah kanan.

Di minit ke-34, beliau sekali menerima hantaran tepat di kaki, pun begitu dia mengambil masa yang lama untuk melakukan rembatan, sekaligus ia mudah dipatahkan pertahanan lawan.

Sebaik babak kedua bermula, tiada pergerakan menarik berjaya dilakukan dengan pergerakan bola terbatas akibat lopak air di atas padang. Bagaimanapun, Kelantan dilihat banyak melakukan serangan berbahaya di kubu lawan.

Di minit ke-52, berlaku keadaan kelam kabut didepan pintu gol sebelum Nwoha berjaya merebat kencang tepat kearah gol lawan dari luar kotak penalti. Bagaimanapun, penjaga gol Saigon, Santos nyata lebih bersedia untuk menepis.

Di minit 66, Nwoha sekali lagi terlepas untuk menjaringkan gol apabila, lambungan Zamri Ramli yang tepat kearahya gagal disempurnakan dengan baik. Tandukan derasnya tersasar kearah kiri gol.

Biarpun, Khairul Fahmi tidak dipaksa bekerja keras dalam perlawanan ini dengan jarang-jarang menerima serangan, namun serangan mereka lebih tajam dan cukup untuk mencemaskan Kelantan.

Kebuntuan untuk mencari gol memaksa Bojan membuat pertukaran dengan memasukkan S. Chanturu (menggantikan Antwi) dan Nor Farhan (menggantikan Nurul Azwan Roya), bagaimanapun ia tidak mampu mengubah kedudukan.

Di minit ke-83, Nwoha muncul untuk melepaskan rembatan, tetapi ia agak lemah untuk menewaskan Santos.

Di minit-minit akhir perlawanan, Ghaddar meraih peluang terbaik perlawanan apabila menerima hantaran kemas daripada Nwoha, namun dia ketika itu gagal mengawal baik sebelum melakukan rembatan terburu-buru kearah gol, sekaligus mudah ditangkap kemas oleh Santos.

Sumber: Arena.my