5 May 2012

LIGA SUPER 2012: KELANTAN 3-0 LIONS XII: SINGA REBAH DI KOTA BHARU

Aksi Norfarhan meraikan jaringannya semalam.
Foto kredit: 

Kelantan menumbangkan Lions XII 3-0 dalam saingan Liga Super di Kota Bharu masing-masing hasil jaringan S. Chanturu, Norfarhan dan Rizal Fahmi.

Kelantan menunjukkan taring sebenar mereka dibabak kedua selepas terikat 0-0 di masa pertama, dengan tiga gol dapat dihasilkan dalam tempoh 20 minit.

Kemasukan Indra Putra Mahyuddin di babak kedua banyak membantu barisan depan Kelantan sehingga kebuntuan gol berjaya dipecahkan bermula jaringan cantik S. Chanturu pada minit ke-73.

Empat minit kemudian Kelantan meraih gol kedua menerusi lambungan Norfarhan selepas permainan 1,2 dengan Badhri Radzi.

Kelantan dilihat semakin bersemangat dan masih dahagakan gol sehinggalah Rizal Fahmi muncul menambah derita pelawat menerusi rembatan derasnya dari luar kotak penalti.

Corak permainan Kelantan nyata berbeza berbanding dibabak pertama dengan Lions lebih banyak membuat percubaan bahaya.  Kelantan terlebih dahulu boleh mencuri jaringan awal apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti di minit ke-3 selepas Norfarhan dijatuhkan, namun Norshahrul Idlan Talaha mempersia-siakan peluang setelah sepakannya diselamatkan penjaga gol lawan.

Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat harus dipuji kerana kerap menyelamatkan gawang Kelantan daripada dibolosi, terutamanya pada 30 minit pertama permainan.

Di minit ke-26, Fahmi berjaya menepis percubaan berbahaya sejurus selepas percubaan pertama Lions terkena palang. Sebelum itu, Fahmi terpaksa melayangkan badan menumbuk dua percubaan dalam keadaan kelam kabut didepan gol Kelantan.

S. Chanturu turut mempamerkan aksi menarik dengan beberapa kali membuat larian solo, biarpun penyudahnya sering kali digagalkan pertahanan Lions.

Di babak pertama juga, pintu gol Lions tampak lebih selamat dengan menunjukkan aksi bertenaga di barisan pertahanan, namun dibabak kedua mereka dilihat terleka dengan membenarkan Kelantan kerap membuat serangan.

Sumber: arena.my

Video kredit sokernet.com