12 May 2012

LIGA SUPER 2012: KELANTAN 3-0 PKNS FC: KELANTAN BERPEWATAKAN JUARA

Aksi Ghaddar semasa cuba melepasi pertahanan PKNS.
Kelantan terus cemerlang apabila membenam PKNS FC 3-0 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya dalam aksi Liga Super malam tadi yang disaksikan oleh hampir 20 ribu penyokong setia The Red Warriors.

Kelantan yang mengasak dari mula awal permainan hampir beroleh jaringan pertama apabila tendangan percuma Badri Radzi diluar kotak penalti PKNS menggegar palang.

Norshahrul Idlan Talaha memastikan Kelantan mendahului dengan jaringan pertama diminit ke 25 setelah menerima lorongan cantik daripada Badri Radzi sebelum memperdayakan 2 pertahanan PKNS dan merembat kencang menewaskan penjaga gol PKNS, Razi Effendi.

Bermula separuh masa kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun pemain pertahanan Kelantan, Obinna Nwaneri  berjaya mencatatkan jaringan peribadi keduanya untuk Kelantan apabila menanduk masuk bola tendangan sudut yang diambil oleh Badri Radzi diminit ke 83.

Kemasukan Muhammad Ghaddar yang menggantikan Nurul Azwan Roya pada penghujung perlawanan nyata berhasil apabila Ghaddar berjaya menambah jaringan ke 3 Kelantan hasil daripada gerakan solo setelah menerima hantaran jauh daripada Khairul Fahmi diminit ke 87.

Kemenangan ini mengekalkan Kelantan ditangga kedua dengan 37 mata dan hanya ketinggalan 3 mata dibelakang pendahulu Liga Super, Lions XII yang mengumpul 40 mata.

Lions XII malam ini dikejutkan oleh Kedah di Stadium Jalan Besar apabila Kedah berjaya mengikat tuan rumah 3-3 walaupun telah selesa mendahului 3-1.

Namun kelebihan berpihak kepada Kelantan berbanding Lions XII yang telah bermain lebih 4 perlawanan daripada Kelantan.

Kemenangan ini memberikan semangat kepada Kelantan yang akan tampil dalam perlawanan akhir Piala FA pada minggu hadapan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Video jaringan Kelantan vs PKNS FC
Video kredit: Sokernet.com