23 May 2012

PIALA FA 2012: KELANTAN 1-0 SIME DARBY


Kredit Foto: ShazliShamsuddin@duniawarriors.com


Kelantan dinobatkan juara Piala FA edisi ke-23 selepas mengalahkan Sime Darby FC 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Selepas tiga kali percubaan, The Red Warriors akhirnya berjaya melengkapkan impian untuk memenangi kesemua kejayaan yang dipertandingkan dalam Liga Malaysia. Gol Kelantan hadir menerusi penyerang import dari Lubnan, Mohammed Ghaddar yang menjaringkan gol penalti pada minit ke-57.

Kelantan kehilangan S. Subramaniam kira-kira 10 minit sebelum babak pertama berakhir selepas dikasari Patrick Ronaldinho semasa pergelutan di udara.

Namun penggantinya di bahagian pertahanan, Rizal Fahmi Rosid berjaya memainkan peranannya dengan baik untuk bergandingan dengan Obinna Nwaneri.

Tempo perlahan pada awal permainan berterusan walaupun Kelantan berkelebihan untuk mencari gol. Tapi gerakan mereka sering tersekat sebelum dapat menembusi kotak penalti lawan.

Percaturan Sime Darby FC yang mengeluarkan Leonardo Teofilo menjerat mereka apabila mudah hilang bola dikawasan tengah walaupun pengendali, Ismail Zakaria cuba memperkuatkan barisan depannya dengan memasukkan Razali Umar Kandasamy.

Khairul Fahmi Che Mat tidak perlu banyak bekerja keras sebagai benteng terakhir berikutan Patrick Ronaldinho dikawal kemas Obinna yang sentiasa bertindak membayanginya.

Pada penghujung permainan, para pemain Kelantan yang sudah memiliki banyak pengalaman beraksi di pentas final tidak terburu-buru untuk mencari gol sekali pun mampu berbuat demikian.

Arkib: Nadi Arena.my

Kredit video: sokernet.com