17 May 2012

PREVIEW FINAL PIALA FA 2012: KELANTAN VS SIME DARBY FC

Probable line-up Kelantan vs Sime Darby: oleh Kelantan Insiders dan  MN 
Kelantan sekali lagi mara ke perlawanan akhir Piala FA tahun ini setelah dua kali dikecewakan oleh Selangor dan Terengganu pada final 2009 dan 2011.

Bezanya edisi kali ini mempertemukan juara Liga Super 2011 itu dengan pasukan berstatus kelab yang pertama berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala FA sejak ia diperkenalkan pada tahun 1990 iaitu Sime Darby FC.

Misi Kelantan adalah untuk melengkapkan kabinet trofi KAFA dengan satu-satunya piala yang masih belum berjaya di bawa pulang ke bumi Kelantan.

Disebalik segala kemelut yang melanda pasukan Kelantan dengan pertukaran jurulatih utama, Peter James Butler kepada Bojan Hodak serta isu penggantungan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa, Kelantan terus unggul dalam semua kejohanan disertainya.

Buktinya Kelantan gah sebagai juara Kumpulan H, Piala AFC, finalis Piala FA dan menduduki tangga ke dua Liga Super 4 mata dibelakang Lions XII dengan 5 perlawanan ditangan.

Sementara Sime Darby yang telah mencipta sejarah tersendiri dalam saingan Piala FA turut mengimpikan 'kempen Piala FA terhebat' mereka ini akan berakhir dengan kilauan piala.

Musim ini merupakan musim ke tiga penglibatan Sime Darby FC dalam arena bola sepak Malaysia secara profesional sejak mula di tubuhkan pada tahun 2010 oleh Sime Darby Berhad.

Mereka menamatkan musim pertama mereka dalam Liga FAM tanpa sebarang kekalahan dan muncul juara liga pada tahun 2010 sekaligus diangkat ke Liga Perdana bagi musim 2011.

Musim ini Sime Darby diperkuatkan dengan kehadiran penyerang import daripada Liberia, Patrick Ronaldinho Wleh yang telah menjaringkan 19 gol dalam 20 perlawanan dan merupakan nadi serangan Sime Darby FC.

Sime Darby juga menambah kekuatan skuad mereka dengan membawa masuk pemain 'bermasalah' Razali Umar Kandasamy dari Perak serta dua penyerang yang membantu PKNS muncul juara Liga Perdana musim lalu iaitu Irme Mat dan Mohd Zamri Hassan.
Laluan Sime Darby FC dan Kelantan ke final Piala FA 2012
Kelantan dan Sime Darby menempuh laluan berbeza didalam saingan Piala FA musim ini dengan Kelantan 'selesa' pada undian yang berpihak kepada mereka berbanding Sime Darby yang diundi dalam kumpulan 'maut'.

Sime Darby membuktikan kemampuan mereka serta laungan awal apabila menewaskan dua pasukan daripada Liga Super, iaitu Sabah pada peringkat pertama dan Johor FC di suku akhir.

Namun kemampuan mereka menyingkirkan juara bertahan, Terengganu di Kuala Terengganu adalah kemuncak persembahan terbaik mereka setakat ini.

Manakala Kelantan tidak menghadapi laluan yang sukar kecuali diperlawanan pertama menentang Sarawak di kota Bharu yang berakhir dramatik dengan gol Norfarhan diakhir diminit permainan.

Kejayaan mudah menundukkan Kuala Lumpur dan KL SPA diperingkat ke dua dan suku akhir bagaimanapun gagal diteruskan di separuh akhir apabila Kelantan sekadar seri pada kedua-dua aksi timbal balik ketika bertemu Kedah.

Ketika Kedah seakan melangkah sebelah kaki ke final apabila selesa mendahului 2-0 di Alor Setar, Kelantan bangkit menyamakan kedudukan menjadikan keputusan berakhir 2-2 serta layak ke final berdasarkan peraturan gol di tempat lawan.
Keputusan terkini Sime Darby dan Kelantan
Sime Darby gah sejak dari awal musim ini dalam saingan Liga Perdana serta tidak kalah dalam 18 perlawanan berturut-turut sejak dari bulan Januari termasuk kemenangan terakhir mereka membelasah Perlis  5-1.

Prestasi cemerlang Sime Darby musim ini banyak dibantu oleh bakat 'luarbiasa' yang dimiliki oleh penyerang import mereka, Patrick Ronaldinho Wleh yang telah menjaringkan 19 gol dalam 20 perlawanan.

Namun rekod cemerlang mereka berakhir apabila ditewaskan oleh dua pencabar terdekat mereka dalam Liga Perdana iaitu Pahang dan ATM bulan ini.

Manakala Kelantan masih lagi belum tewas dalam 14 perlawanan terakhir dalam semua kejohanan disertai termasuk Liga Super, Piala FA dan Piala AFC.

Walaupun dihambat oleh masalah kepenatan ekoran jadual yang terlalu padat, Kelantan tampil dengan penuh keyakinan apabila berjaya melepasi setiap perlawanan dengan kemenangan.
Pemain tumpuan final Piala FA 2012: Norfarhan Muhamad  & Patrick Ronaldinho Wleh
Pemain tumpuan bagi perlawanan akhir Piala FA pilihan penulis ialah Norfarhan dari Kelantan dan Ronaldinho daripada Sime Darby.

Sime Darby dilihat terlalu bergantung kepada Ronaldinho yang merupakan penjaring terbanyak pasukannya namun kelibat Mohd Zamri Hassan, Irme Mat, Teofillo dan Razali Umar juga harus diawasi kerana pemain-pemain ini juga mampu mencipta jaringan.

Walaupun tidak dibarisi pemain berstatus 'bintang', kelebihan utama Sime Darby ialah kepantasan dan disiplin berpasukan yang tinggi apabila bertahan dan amat merbahaya apabila melakukan serangan balas.

Hantaran tepat daripada midfield sentiasa ditujukan kepada Ronaldinho yang memiliki kepantasan, ketinggian dan kemahiran individu serta penyudah yang baik.

Kelicikan Ronaldinho dijangka akan dapat dikekang oleh Obinna dan barisan pertahanan lain sekiranya diturunkan seperti Subramaniam, Rizal Fahmi, Farisham dan Daudsu.

Sementara diatas kertas, Kelantan dilihat mempunyai segala kelebihan disetiap posisi berbanding Sime Darby dengan pilihan pemain yang banyak.

Setiap pemain Kelantan memberikan yang terbaik setiap kali diturunkan dan ini terbukti apabila hampir keseluruhan pemain Kelantan berjaya mencatatkan nama sebagai penjaring.

Namun bagi final Piala FA, Norfarhan Muhammad dilihat mempunyai misi tersendiri untuk muncul penjaring terbanyak setelah mengumpul 5 gol dalam saingan kali ini.


BARISAN KEMUNGKINAN

Pilihan line-up Kelantan adalah berdasarkan pilihan KI (Kelantan Insiders) yang telah mendapat 'likes' terbanyak dalam post penulis dalam'group TRW facebook'.

KELANTAN
Khairul Fahmi [GK]
Subramaniam
Obinna Nwaneri
Rizal Fahmi
Farisham Ismail
Nurul Azwan
Chanturu
Shakir
Badri Radzi [C]
Norshahrul Idlan
Norfarhan

SIME DARBY FC
Redzuan Harun [GK]
Azmirul Azam
Es Lizuan
Patrick Ronaldinho
Fairuz
Mohd Irme Mat
Leandro Teofilo
Mohd Faiz
Kamarul Afiq [C]
Badrul Hisyam
Mohd Shazlan