1 May 2012

SEPARUH AKHIR PIALA FA 2012: KELANTAN YAKIN KE FINAL

Barisan kemungkinan Kelantan vs Kedah, separuh akhir Piala FA 2012 
Kelantan berada dalam prestasi terbaik untuk mara ke perlawanan akhir Piala FA buat kali ke 3 dalam tempoh 4 tahun dan memburu satu-satunya piala yang masih belum berada dalam kabinet trofi KAFA.

Setelah gagal membawa piala ini pulang pada tahun 2009 dan 2011 apabila dikecewakan oleh Selangor dan Terennganu, Kelantan terlebih dahulu mesti melepasi Kedah pada aksi timbal balik kedua separuh akhir pada malam ini.

Dalam perlawanan separuh akhir pertama di Kota Bharu, Kedah yang bertahan sepanjang perlawanan berjaya mengikat Kelantan 1-1 hasil serangan balas penyerang import, Vedran Gerc diminit ke 29.

Kelantan yang menguasai hampir keseluruhan permainan dan mendahului melalui Norshahrul Idlan di minit ke 16 hasil gerakan menarik diantara Badri Radzi, Ghaddar dan Norshahrul.


Kedah telah memenangi Piala FA sebanyak 3 kali pada tahun 1996, 2007 dan 2008 semestinya mahu menebus kembali kegagalan mereka pada 2012 apabila tewas kepada Negeri Sembilan di perlawanan akhir.

Kehadiran Vedran Gerc dan Safi El-Fateh berjaya menyelesaikan masalah ketumpulan barisan serangan Kedah dan bakal menjadi ancaman kepada pertahanan Kelantan malam ini.

Vedran Gerc telah berjaya menjaringkan 3 gol dalam 2 penampilannya bersama Kedah termasuk jaringan penyamaan tempoh hari dan gandingannya bersama Safi El-Fatih dan Baddrol harus diawasi.

.
Ghaddar ketika cuba melepasi pertahanan Kedah
Kelantan yang kehilangan pertahanan kental, Daudsu Jamaluddin dan Subramaniam ekoran kad merah dan 3 kad kuning, dijangka akan menurunkan Farisham Ismail dan Rizal Fahmi.

Ini tidak akan memberikan masalah yang besar kepada Kelantan kerana pemain-pemain ini sentiasa digilirkan oleh Bojan Hodak dan mereka berjaya memberikan persembahan yang baik termasuk ketika mengalahkan Navibank 2-1 di Vietnam tempoh hari.

Kehadiran semula Norshahrul dan ketajaman penyudah Ghaddar dijangka akan mampu menghasilkan gol bagi Kelantan malam ini berdasarkan prestasi semasa mereka.

Norshahrul yang lama berehat tampil berbisa dengan 1 jaringan di Kota Bharu dan berjaya membantu Ghaddar menjaringkan gol kemenangan di Vietnam.

Kedah walau bagaimanapun dijangka akan bermain secara berhati-hati dan cuba mempertahankan kelebihan gol ditempat lawan dan keputusan seri 0-0 sudah cukup bagi layak ke perlawanan akhir.

Sementara Kelantan dijangka akan cuba memenangi perlawanan ini atau sekurang-kurangnya menjaringkan 2 gol di Alor Setar jika perlawanan berakhir seri.

Berdasarkan prestasi semasa, Kelantan dilihat mampu menjaringkan gol ditempat lawan termasuk dalam saingan Liga Super, Piala FA dan Piala AFC.

Bermain ditempat sendiri, Kedah tewas 0-2 kepada Sarawak pada bulan April setelah menang 3-0 keatas Perak pada bulan Mac.

Kelantan dijangka mengasak dari awal permainan bagi gol pendahuluan dengan Kedah turut membuka sedikit permainan sekiranya Safi El-Fateh diturunkan dalam kesebelasan utama.