17 July 2012

CLUB FRIENDLIES: KELANTAN VS QPR: PREVIEW QUEENS PARK RANGERS

Barisan Kemungkinan Kelantan vs QPR oleh mugonopak.blogspot.com

Queens Park Rangers yang dimiliki oleh Tan Sri Tony Fernandes telah terselamat daripada penyingkiran daripada Liga Perdana Inggeris pada musim lalu apabila berjaya menduduki tempat ke 17 daripada 20 pasukan.

Peminat di Malaysia tentunya mengingati perlawanan terakhir QPR pada musim lalu apabila mereka menentang Manchester City didalam perlawanan yang penuh dramatik.

QPR berjaya mendahului City 2-1 sehingga minit ke 90 perlawanan sebelum Dzeko dan Aguero menjaringkan gol kemenangan City dihujung masa tambahan.

Namun pencapaian QPR pada musim 2011/2012 lalu adalah tidak memuaskan walaupun ia adalah musim pertama mereka kembali ke Liga Perdana Inggeris sejak musim 1996/1997.
Musim lalu QPR hanya berjaya mengutip 37 mata daripada 38 perlawanan hasil daripada 10 kemenangan, 7 seri dan 21 kekalahan, serta memiliki 43 jaringan dengan 66 bolos.

Penjaring terbanyakQPR musim lalu ialah penyerang daripada Iceland, Heidar Helguson dengan 9 gol diikuti oleh penyerang Scotland, Jamie Mackie (7), Djibril Cisse (6) dan Joey Barton (3).

Permulaan yang teruk musim lalu menyaksikan Fernandes memecat Neil Warnock dan menggantikannya pada bulan Januari dengan bekas pengurus Manchester City dan Blackburn Rovers, Mark Hughes.

Mark Hughes berjaya membawa QPR keluar daripada zon penyingkiran setelah mereka mencatatkan 5 kemenangan berturut-turut di akhir musim di halaman sendiri termasuk berjaya mengalahkan Arsenal, Liverpool dan Tottenham.

Bagi musim 2012/2013, QPR tampil agresif dengan membawa masuk beberapa pemain ternama bagi memperkuatkan skuadnya dan bakal menjadi pencabar yang lebih disegani dalam Liga Perdana Inggeris.

Antara pemain yang berjaya ditandatangani setakat ini ialah Park Ji-Sung dan Fabio Da Silva daripada Manchester United, Andrew Johnson dari Fulham, Ryan Nelsen dari Tottenham dan Robert Green dari West Ham.

QPR kini juga menjadi 'lubuk' beberapa bekas pemain kebangsaan England yang semakin dimakan usia seperti Kieran Dyer, Andrew Johnson, Shawn Wright-Phillips, Robert Green, Bobby Zamora dan Joey Barton.

Daripada mereka hanya Robert Green sahaja yang tersenarai dalam skuad kebangsaan England sebagai penjaga gol ke 2 dalam kejohanan Euro 2012 baru-baru ini.

Kemasukan bintang dari Manchester United, Park Ji-Sung dan Fabio Da Silva telah menarik perhatian peminat terhadap pasukan ini namun QPR masih lagi belum memiliki seorang penyerang tulen yang berkaliber.

Park Ji-Sung merupakan seorang miedfilder yang kerap diturunkan oleh Alex Ferguson didalam beberapa perlawanan besar dan penting tetapi fungsinya lebih kepada pemain sayap bertahan dengan tahap kerajinan dan kecergasan yang tinggi.

Joey Barton pula digantung selama 12 perlawanan pada musim hadapan ekoran tindakkannya yang terbabit dalam beberapa insiden dengan Carlos Teves dan Samir Nasri dalam perlawanan menentang Manchester City tampoh hari.

Beliau juga tidak terbabit dalam siri perlawanan persahabatan di Asia menentang dan besar kemungkinan akan dipinjamkan ke kelab lain untuk mendapatkan kecergasan sebelum kembali ke QPR November ini.