9 July 2012

LIGA SUPER 2012: KELANTAN 6-0 PERAK: KELANTAN JUARA BERGANDA


Indra Putra menjaringkan hatrik pada ketika Kelantan membenam Perak 6-0 .
Foto: kosmo.com.my

Kelantan berjaya mempertahankan Piala Liga Super yang dimenangi pasukan itu musim lepas apabila membelasah Perak 6-0 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Kemenangan ke-17 daripada 24 perlawanan liga itu membolehkan mereka memungut 57 mata, berkelebihan tujuh mata daripada pencabar terdekat, Lions XII dari Singapura dengan masing-masing masih mempunyai dua baki perlawanan.

Kelantan merupakan pasukan ketiga yang berjaya mempertahan piala itu sejak ia diperkenalkan pada 2004 yang dimenangi oleh Pahang, selepas Kedah melakukannya pada 2007 dan 2008 serta Selangor pada 2009 dan 2010.

Pada perlawanan itu, skuad The Red Warriors membuka tirai jaringan menerusi Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-17 sebelum Mohammed Ghaddar Mahmoud menggandakan jaringan dua minit kemudian selepas memanfaatkan bola hasil lorongan Indra Putra.

Kapten skuad The Red Warriors,Mohd Badhri Mohd Radzi menambah derita pasukan pelawat dengan gol ketiga, empat minit kemudian menerusi sepakan kencang dalam kotak penalti untuk menewaskan Mohd Nasril Nourdin di gawang Perak.

Indra Putra melengkapkan malam kegemilangan Kelantan apabila melakukan hatrik dengan menjaringkan gol keempat pada minit ke-29 dan gol keenam pada minit ke-48.

Satu lagi gol Kelantan dijaringkan oleh Nurul Azwan Roya pada minit ke-38. Perak bertambah malang apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain pada minit ke-47 apabila kapten mereka, Shahrul Nizam Mustapa dikenakan kad merah oleh pengadil, Rahmat Jantan kerana mengasari Mohammed Ghaddar.

Arena.my

Video sokernet.com