11 July 2012

PENYAMPAIAN PIALA LIGA SUPER 2012 DI WISMA FAM: SATU PENGHINAAN KEPADA LIGA BOLA SEPAK MALAYSIA

Badri Radzi menjulang Piala Liga Super 2011.


Kelantan berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super yang dimenangi pada tahun lepas setelah menundukkan Perak 6-0 di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bahru.

Meskipun terpaksa mengharungi jadual yang ketat, jarak perjalanan yang jauh dan memenatkan, perlawanan demi perlawanan, kejohanan tempatan dan antarabangsa, Kelantan membuktikan bahawa mereka berhak diatas setiap kemenangan mereka.

Namun segala usaha dan titik peluh pemain-pemain Kelantan musim ini bagaikan tidak dihargai apabila Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) sekali lagi akan 'memberikan' piala berprestij Liga Super Malaysia 2012 anjuran mereka sendiri itu di pejabat mereka.

Tindakan FAM yang  mengadakan Majlis Penyampaian Anugerah, Pingat, Mock Cheque dan Piala Liga Super 2012 di Wisma FAM itu bagaikan  'membunuh' maruah dan prestij liga itu sendiri serta semua pasukan-pasukan yang bertanding didalamnya.

Tradisi pelik yang dimulakan oleh FAM pada musim 2011 ini ketika Kelantan menjuarai Liga Super buat pertama kali dalam sejarah mereka.

Majlis tersebut diadakan dalam suasana tertutup dan sempit, tanpa kehadiran ribuan penyokong setia dan kehangatan yang hanya ada di stadium ternyata tidak dapat dirasai oleh semua pihak yang terlibat.

Piala Liga Super 2011 hanya dijulang dihadapan beberapa pegawai pasukan dan FAM, wartawan dan beberapa wakil kelab penyokong.

Persoalannya mengapa ditahun yang sama Juara Liga Perdana 2011 iaitu PKNS dibenarkan menerima Piala Liga Perdana di stadium dan tidak di wisma FAM seperti Juara Liga Super 2011, Kelantan.

Adakah prestij Liga Perdana itu melebihi prestij Liga Super? Apakah pihak yang bertanggung jawab ke atas Liga Perdana merupakan pihak yang sama?

Sukar difahami mengapa Kelantan dinafikan hak untuk meraikan kejuaraan dan berkongsi kemenangan besar ini bersama-sama penyokong mereka yang sentiasa setia memenuhi Stadium Sultan Muhammad ke IV ketika pasukan lain bergelut untuk mendapat jumlah penonton di stadium mereka.


Keputusan FAM untuk mengadakan Majlis Penyampaian Piala Liga Super 2012 pada 20 Julai ini di Wisma FAM adalah tidak munasabah sedangkan Kelantan sudah pun mengesahkan kejuaraan Liga Super pada perlawanan menentang Perak di Kota Bharu pada 7 Julai, Sabtu lepas.

Kelantan seharusnya dibenarkan menerima Piala Liga Super selepas perlawanan terakhir menentang Sarawak pada 14 Julai ini di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu.

Kelantan seharusnya menerima layanan yang sama seperti dua pasukan sebelumnya yang memenangi Liga Super dua kali berturut-turut iaitu Selangor (2009&2010) dan Kedah (2007&2008) yang menerima Piala Liga, pingat dan lain-lain di dalam stadium dihadapan penyokong mereka sendiri.
Juara Liga Super 2007, 2008, 2009 & 2010 iaitu kedah dan Selangor menerima Piala Liga super di Stadium.

Menarik untuk diperkatakan sekiranya Kelantan gagal menyaingi kehebatan Lions XII dan pasukan jemputan khas FAM itu pula yang menjuarai Liga Super 2012, adakah penyampaian Piala Liga Super akan diadakan di Wisma FAM atau di Singapura.