28 July 2012

PROF KHOO KAY KIM: FAM PREJUDIS PADA KELANTAN DAN JAHIL UNDANG-UNDANG SENDIRI

"Saya rasa mereka (pegawai FAM) perlu dihantar ke sekolah untuk belajar undang-undang"  Prof.  Khoo Kay Kim


Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim mempersoalkan tindakan yang FAM sebelum ini menuntut KAFA supaya terlebih dahulu membuat laporan keatas kekasaran melampau yang dilakukan oleh pemain Selangor iaitu Amri Yahyah dan Bunyamin Omar sebelum siasatan dan pertuduhan dibuat.


Namun setelah mengemukan laporan bersama bukti rakaman video kepada FAM, KAFA sebaliknya dikejutkan dengan pertuduhan yang sama terhadap Mohamad Ghaddar yang dibuat oleh FAM sendiri walaupun tiada sebarang laporan dibuat oleh pihak ketiga.

Isu ini timbul setelah Bunyamin dan Amri Yahyah membuat kenyataan melalui laporan media mempertahankan tindakan mereka sebagai membalas balik kekasaran yang dilakukan terlebih dahulu oleh Ghaddar.

Insiden kekasaran terhadap Ghaddar ini berlaku dalam perlawanan Liga Super diantara Kelantan dan Selangor yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke IV pada 29 Jun lepas dimana Kelantan menang tipis 1-0 hasil jaringan Ghaddar.

Ketiga-tiga pemain ini berhadapan dengan pertuduhan mengasari pemain lawan dan boleh dikenakan tindakan gantung sehingga 3 perlawanan dan denda RM1500.00.

Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim berpendapat FAM sering mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bercanggah mengenai sesuatu isu dan kelihatan 'kurang faham' terhadap peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh mereka sendiri.

Sebelum ini skuad presiden Kelantan juga telah dipotong 14 mata daripada 7 perlawanan dengan alasan Kelantan menurunkan penjaga gol yang tidak sah dan telah didaftarkan dalam Liga Super.

FAM memberikan alasan berdasarkan perkara 55 (2) yang menyebut mengenai kesalahan menurunkan pemain yang bermain di peringkat lebih tinggi bermain dalam peringkat yang lebih rendah.

Walaupun akur dan menerima hukuman tersebut, KAFA telah mengemukakan rayuan apabila mendapati tiada sebarang penyataan yang menyatakan akan kesalahan KAFA menurunkan pemain tersebut setelah menyemak buku mengenai denda dan peraturan.

Kekeliruan FAM terhadap peraturan mereka sendiri ini seringkali membabitkan pasukan Kelantan dan sekaligus menimbulkan rasa tidak puas hati dan terkilan dikalangan penyokong-penyokong Kelantan.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa turut dijatuhkan hukuman oleh FAM dan dilarang daripada terbabit dalam sebarang aktiviti bola sepak selama 30 bulan dengan alasan memberikan kenyataan mengkritik pasukan kebangsaan di media.

Ironinya, hukuman terhadap Annuar tersebut juga adalah mengelirukan kerana hukuman larangan tersebut adalah hukuman yang hanya boleh dikenakan keatas pegawai-pegawai dibawah FAM dan bukannya keatas seorang Timbalan Presiden FAM.

Diharapkan supaya 'perang dingin' diantara Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa, Setiausaha Kehormat FAM, Dato' Azzudin Ahmad dan FAM yang berlanjutan hingga ke mahkamah agar tidak mempengaruhi sebarang keputusan apabila membabitkan sebarang 'isu panas' diantara Kelantan dan FAM demi maruah dan kebaikan bola sepak negara.

Sokernet.com