16 September 2012

PIALA AFC 2012: PREVIEW KELANTAN FA VS ERBIL SC: THE YELLOW CASTLE VS THE RED WARRIORS

Barisan kemungkinan Erbil SC disediakan oleh admin page kelab peminat Erbil iaitu Hawler FC kepada penulis*
 (Jangkaan sahaja). 
Juara Liga Super dan Piala FA 2012, Kelantan mencatatkan sejarah tersendiri apabila melayakkan diri ke peringkat suku akhir Piala AFC dalam penyertaan sulungnya dalam kejohanan peringkat Asia ini.

Kelantan bakal berkunjung ke Erbil, Iraq melalui penerbangan pada 15 September dari Kota Bahru ke Kuala Lumpur dan transit di Doha, Qatar sebelum menyambung perjalanan Erbil.

Lawan yang bakal menunggu di Stadium Franso Hariri pada 18 September ini ialah Erbil SC, juara 4 kali Liga Perdana Iraq  yang juga digelar 'Hewler' atau 'The Yellow Castle'.

Erbil yang baru sahaja dimahkotakan kejuaraan kali ke 4 Liga Perdana Iraq pada 1 Ogos lalu, pernah mencatatkan kejuaraan Liga Perdana Iraq 3 tahun berturut-turut pada tahun 2007, 2008 dan 2009 serta merupakan semi-finalis Piala AFC pada musim 2011.
Pencapaian Erbil pada musim ini juga menabjubkan apabila muncul juara setelah mengutip 83 mata daripada 38 perlawanan dengan mencatatkan 23 kemenangan, 14 seri dan hanya satu kekalahan.

Kapten pasukan Erbil, Sarhang Muhsin menyatakan bahawa mereka telah menepati janji kepada peminatnya untuk memberikan pencapaian yang terbaik bagi musim ini dan seterusnya mereka ingin memenangi Piala AFC buat kali pertama.

Sementara bagi Kelantan, kejayaan mara keperingkat suku akhir sudah pun dianggap sebagai satu pencapaian yang membanggakan namun kesempatan mara keperingkat ini harus digunakan dengan sebaiknya.
Kelantan dan Erbil mucul juara bagi kumpulan H dan B dimana Kelantan mengumpul 13 mata dan Erbil mengumpul 14 mata daripada 6 perlawanan.

Walaupun Kelantan mengalami 1 kekalahan namun jumlah kemenangan, jaringan dan perbezaan gol diantara kedua-dua pasukan kelihatan tidaklah begitu berbeza.

Akan tetapi, perbezaan tahap kemahiran diantara pasukan dari Asia Tenggara dan Asia Tengah dijangka akan menjadi faktor penting pada pertemuan ini.

Kelantan akan bertemu dengan pasukan dari timur tengah buat pertama kali dalam saingan Piala AFC setelah melepasi peringkat kumpulan yang terdiri daripada pasukan dari Asia Tenggara setelah mengalahkan pasukan senegara, Terengganu di peringkat kalah mati.
Pemain Erbil yang harus diberikan tumpuan oleh barisan pertahanan Kelantan ialah penyerang berbisa iaitu Amjad Radhi yang telah meledakkan 24 gol pada musim ini dalam Liga Perdana Iraq dan Piala AFC.

Penyerang yang berumur 22 tahun ini juga merupakan pemain kebangsaan Iraq daripada kelab Erbil SC bersama-sama Ahmad Ibrahim dan Waleed Salim serta terlibat dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2012 di antara Jepun dan Iraq pada 11 September lalu di Jepun.

Disamping itu, Erbil turut memiliki Luay Salah, 30 tahun, yang merupakan penjaring ke dua terbanyak pasukannya serta beberapa pemain berkaliber yang lain seperti Mahdi Karim, Abd. Razak dan Saade Abdul Amir.
Erbil turut memperkemaskan pasukannya bagi saingan suku akhir ini apabila telah membawa masuk 2 pemain ternama Iraq iaitu Mustafa Karim dan Salih Sadeer, dua pemain import dari Senegal iaitu Abdulla dan Sleman serta beberapa pemain tempatan berketurunan Kurdish iaitu Miran Karim, Diyar Rahman dan lain-lain.

Pengambilan pemain-pemain baru ini adalah untuk persiapan mengharungi Liga Perdana Iraq 2013 dan Piala AFC musim ini dengan misi menjadi juara dan layak secara automatik ke dalam kejohanan Asian Champions League, musim hadapan.

Erbil terpaksa menyingkirkan 5 pemain musim ini iaitu Aws Ibrahim, Mustafa Ahmad, Ahmad Ayan, Obode Effe dan Kinan Nima diatas prestasi yang tidak memuaskan, manakala pemain penyerang, Muslim Mubarak ditamatkan kontrak diatas permintaannya sendiri.
Yanai hawler, hawler club, Erbil club
Aksi pemain Erbil ketika mengalahkan Jazeera 3-1 dalam perlawanan persahabatan bagi persiapan menentang Kelantan pada 10 September lalu.
Erbil mula menjalani kem latihan khusus bagi menentang Kelantan mulai daripada 26 Ogos lalu dan telah menjalani 2 perlawanan persahabatan di bandar Amman, Jordan iaitu menentang pasukan Faysali dan Jazeera.

Erbil bagaimanapun tewas 0-1 kepada Faysali pada 9 September dan bangkit mengalahkan Jazeera pada 10 September hasil jaringan Miran Karim, Luay Salah dan Hardi Siyamand.

Disebalik persiapan rapi yang dilakukan oleh tuan rumah; Erbil SC, Kelantan pula menghadapi masalah kecederaan, penggantungan dan pendaftaran pemain-pemain import mereka. 
Penyerang sensasi dari Lubnan, Mohamad Ghaddar yang juga merupakan penjaring ke 4 terbanyak dalam kejohanan Piala AFC musim ini dengan 7 gol dilaporkan masih belum cergas ekoran kecederaan pangkal paha dan akan disisihkan bersama Norshahrul Idlan Talaha.

Manakala dua pemain import baru iaitu Keita Mandjou dan Mijo Dadic pula gagal didaftarkan kerana masalah sijil perpindahan pemain antarabangsa (ITC).

Kehilangan dua tonggak penting pertahanan iaitu Subramaniam yang mengalami kecederaan dan Obinna Nwaneri yang digantung dijangka akan memberi sedikit kesan kepada barisan pertahanan Kelantan.

Namun Kelantan bernasib baik kerana masih memiliki dua lagi pemain import dari Ghana iaitu Danny Antwi dan Emmanuel Okinne yang telah disenaraikan semula bagi memperkuatkan pasukan.

Persembahan memuaskan oleh pemain-pemain pinjaman iaitu Mohd Afiq Azmi, Mafry Balang dan Asrul Najmuden dalam kejohanan Piala Malaysia sedikit melegakan pasukan Kelantan.
Kelantan berkunjung ke Erbil dalam keadaan tempang ekoran ketiadaan penggempur utama, Mohamad Ghaddar yang juga penjaring terbanyak mereka musim ini, Indra Putra dan Norshahrul Idlan. Namun, Kelantan masih memiliki Norfarhan, Badri Radzi dan Mohd Afiq.

Peluang untuk Kelantan meraih kemenangan di Arbil tampak sukar ekoran ketiadaan beberapa pemain-pemain utama, jarak perjalanan yang jauh, suhu yang panas serta kekuatan pasukan Erbil yang cemerlang pada musim ini. 

Kelantan sekurang-kurangnya perlu mencatatkan keputusan seri dan mengelakkan kekalahan yang besar di Iraq sebelum menanti kunjungan balas Erbil di stadium keramat The Red Warriors, di Kota Bharu. Meskipun nampak sukar, Kelantan semestinya akan memberikan yang terbaik demi maruah pasukan, negeri dan negara.
THE YELLOW CASTLE VS THE RED WARRIORS